Wednesday, August 13, 2008

Komunikasi Pra Muktamar : Tahalluf Siasi : Q&A Ringkas

Salam

Ada 'dua sahabats' meng-email dan bicara online dengan saya seminggu dua ini, tanya beliau dengan mengungkit posting sebelum-sebelum ini, khususnya ruangan komen yang bertanyakan tentang apa logiknya PAS berpakat dengan DAP. Saya katakan, untuk situasi sekarang, tiada apa yang berubah dari segi pendirian kita. Antara yang sempat dipetik dan dikongsi bersama ;

1. Bolehkah bekerjasama dengan bukan Islam.
JAWAB SAYA Jika kerjasama itu ke arah menjatuhkan penguasa yang zalim, kenapa dikatakan tidak. Malah lebih baik dari bersekongkol dengan golongan munafik yang akan memusnahkan Islam dari dalam.

2. TETAPI TAHALLUF INI ADA BATASNYA yakni aqidah dan perkara-perkara usul dalam syariat Islam. Ia tidak boleh dikompromi.

3. Lantas pertanyaan seterusnya adakah saya / sahabat lain ingin menarik balik persetujuan berpakat dengan DAP.
Jawapan saya, mengapa tidak -jika batasan dan garis pemisah yang jelas oleh Allah dan Rasulnya dilanggar. Bukan hanya DAP, apa parti sekalipun, bukan tandingan kepada garis panduan Islam. Baik mereka Melayu, muslim atau kuffar.

4. Pertanyaan seterusnya, lantas, ini sebenarnya akan menggagalkan atau menipiskan peluang mendapatkan pemerintahan negara.
Jawab saya, apa salahnya kita gagal mendapatkan pemerintahan. Selama mana kuasa dan kekayaan akan kekal. Dan bila pula kita meletakkan pemerintahan sebagai matlamat? Dan sejak bila pula Islam menjadi alat untuk menuju pemerintahan?

Sebenarnya, pemerintahan itulah jenama suatu alat, dan Islam itu matlamat. Dan jika ALAT BERJENAMA PEMERINTAHAN INI gagal dicapai, pasti banyak lagi alat lain yang boleh digunakan ; dakwah fardhiyah, dakwah umumiyyah, tarbiyyah akar umbi, tarbiyah ammiyah, gerak kerja check and balance, doa yang maqbul, kekayaan pendokong gerakan yang menginfaqkan hartanya, kewarakan muslimin yang bakal menyebabkan perjuangan lebih diberkati dan diredhai Allah dan segala macam alat lagi.

Apa masalahnya dengan alat lain? Kurang berkesan? Besi bulat lama-lama diasah, jadi parang juga akhirnya. Begitu juga sebaliknya, pedang samurai/katana, dibiar berkarat, patah juga akhirnya.


5. Jadi apa pendirian kita untuk suasana yang sedang berlaku kini?
Jawab saya, menetapkan pendirian dalam perjuangan harakah Islamiyah, bukan milik ahli sesuatu jamaah. Kita ada syura yang diberikan wala dan thiqah kita kepada mereka. Dan melalui musyawarah, muzakarah mahupun muktamar, kita ada ahli yang boleh menjadi check and balance dan sebagai inspirasi kepada penggubal dasar gerakan.

Kenapa ingin menyatakan pendapat peribadi tentang pendirian kita 'secara peribadi. Kita ahli jamaah, bergeraklah dalam jamaah dan secara berjemaah. Namun bila berlaku perselisihan, baliklah kepada al-Quran dan Sunnah, itu panduan mutlaq kita. Cuma kaedahnya bila kita ingin perbetulkan sesuatu, masih perlu menghormati prinsip asas serta adab antara ahli dan penguasa sesuatu jamaah.

6. Bagaimana tentang ramalan masalah peminggiran Islam yang mungkin berlaku selepas 16 September nanti?

Selalulah berawas-awasan. Tetapi tidak perlu menujum. Bukan sekali Islam terpinggir. Malah Rasulullah sendiri jelas menampakkan isu ini sejak dari awal :


بداء الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بداء فطوبى للغرباء

Maksudnya : Islam mula tersebar dalam keadaan dagang ( asing) , dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. ( H.R. Muslim).

Dan saya tegaskan, BIARLAH PERISTIWA 16 SEPTEMBER itu berlaku dahulu. :) Kalaulah ia berlaku...

7. Merujuk hadis di atas, kenapa pula untung orang asing?
Panjang mahu diterang, inilah orang asing tersebut ;

Firman Allah :

( طوبى لهم و حسن مآب ) Ar Ra`d-29

“ Orang yang beriman dan beramal soleh bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik"


8. Bila kita perlu mufaraqah?
Soalan akhir ini saya tersenyum, jawab saya, mungkin uzlah lebih bermanfaat dari mufaraqah.. :), tetapi jika ingin juga, tengoklah apa asbabnya, dan apa pula kaedahnya ; dan apa pula kehalusan akhlaq yang perlu digunakan kalau tuan ingin mufaraqah dari solat!

Wallahua'lam.

No comments: