Monday, September 24, 2007

Sibuk, Sedih, Hipokrit, Fasiq!

Kenapa entah, rasa terlalu sempit ruang untuk menulis. Padahal masa yang diberi Allah kepada blogger lain juga 24 jam sehari. Tetapi mereka lebih rancak menulis. Mungkin ada yang tak kena pada pengurusan masa diri sendiri gamaknya.

Ada celah, tulis sajalah. Kurang-kurang, kalau tidak kena tepat ke sasaran, lompat-lompat pun jadilah.

Terlebih dahulu takziah kepada keluarga allahyarhamah adik Nurin. Moga redha dengan ketentuan taqdir. Masanya tidak berubah untuk saat kehilangan itu akan dihadapi. Tetapi caranya kali ini mencarik adat kesabaran. Tetapi percayalah, setiap hamba Allah tidak akan diuji dengan sesuatu yang tidak mampu dihadapinya. Mungkin masa akan membantu menenangkan mereka, jika tidak banyak, sedikit. al-Fatihah.

Walaupun begitu, kita tidak boleh juga melupakan belasan, malahan mungkin puluhan kanak-kanak lain yang masih lagi hilang. Ibu bapa mereka juga masih sugul. Tidak tentu arah tatkala hilang permata hati. Semuanya perlu diberi perhatian. Dan yang pasti, SESEGERA mungkin. Pihak berwajib jangan kecoh menegakkan undang-undang, kalau tahap kecekapan bertindak masih lagi di bawah par. Kalau gah semata, hasilnya lembap, tak usahlah bermegah kita ini ada pasukan yang cukup cekap. Cekap?, lembab, ego! Mengeluarkan kenyataan tentang kemungkinan mendakwa ibu bapa allahyarhamah Nurin oleh pak Menteri dan pak KPN pada hari pengesahan kematian allahyarhamah adalah satu kenyataan 'bahalol' pada masa yang tidak sewajarnya. Apa ini? Tunjuk kuasa?! Defense mechanism!

Kepada semua rakyat Malaysia, besarkanlah anak-anak sewajarnya. Berikanlah keperluan asas secukupnya. Tanam iman dalam diri dan ahli keluarga sedari awal. Agar hidup diberkati dan dilindungi Allah. Saya masih ingat, zaman kecil dahulu, bila ingin sahaja ke pekan, waima ke bandaraya sekalipun, ibu dan bapa tiada masalah untuk bekalkan sedikit wang, dan belikan tiket bas atau kapal terbang untuk ke sana ke sini. Tidak perlu khuatir. Apatah lagi kalau hanya meminta izin untuk berbasikal di sekitar taman atau kampung, ia sudah ada kebenaran 'by default'. Tapi kini, ke pasar malam berdekatan rumah pun sudah jadi ancaman. Apakah penghujungnya semua anak kini perlu dirantai kepada ibu bapa? Kalau tidak dikira cuai? Itu boleh didebatkan. Bukan sekarang ya!..

Cuai? Ibu bapa mungkin didakwa cuai jika tidak mengikut lunas undang-undang. Kalau begitu, sama sahajalah jika berkuasa tampak lembab menguruskan sesuatu kes. Jika berlarutan terlalu lama, rakyat juga boleh mendakwa mereka cuai dan sambil lewa. Isu ini amat subjektif! Kau kata aku, aku kata kau. Mangsa tetap jadi mangsa.

Satu persoalan.. sudah sampaikah masanya kita perlu menakutkan ibu bapa pula dengan segala macam undang-undang tatkala mereka berhempas pula mencurahkan kasih dan mendidik anak-anak mereka? Tidak cukupkah mereka perlu takut kepada penjenayah? Atau ini akan jadi satu lagi jenayah kemanusiaan? Pasti ada jalan yang lebih baik untuk hal ini. Akta, lokap, jel, penjara, denda.. BUKAN PENYELESAIAN MUTLAK bagi semua ini. Atau memang sudah kering idea? Mari kita jumpa dan bincang. Anak-anak sekolah pun boleh berfikir seribu macam cara tentangnya! Macam tak ada mak bapak pula rasanya mereka yang beridea sebegini!. - hush, nasib baik bulan Ramadhan.

Suasana sekarang sudah berlainan. Perang zaman Rasulullah, cukup banyak, tetapi umat manusia hidup aman dan berasa selamat setiap masa. Zaman kita sekarang, berjuta-juta kali diisytiharkan aman, negara Islam, dan bermacam tipu daya lagi ; tetapi ingin tinggalkan selipar di ruang tangga masjid pun kita gusar. Apatah lagi membiarkan anak bersendirian walau seketika. Apakah petandanya ini? Hanya Allah yang mengetahui.

Jika sudah sedar keadaan sudah tidak selamat, pihak berkuasa mestilah lebih bersiap sedia. SIMPANLAH peluru hidup untuk menjadi habuan penjenayah. Usahlah tembak orang awam sampai terbenam peluru di paru-paru hanya kerana rusuhan - jika iapun rusuhan. Nampak sangat bodohnya modus operandi yang digunapakai. Dan tidak berotak bila prosedur keselamatan penggunaan senjata pun luput dari dari otak udang ini. Kemudian menipu pula. Dada dikatanya bahu. Fail biollogi nampaknya.

Bahaya sangatkah rusuhan? Atau memang dirancang untuk jadi bahaya? Kita serahkan pada Allah untuk menjadi hakim yang Maha Adil. Siapa yang bersalah, tidak sempat taubat, carilah Syafie, al-Quran atau apa sekalipun, tapi kalau bila jumpa tidak diamal, NERAKALAH jua tempatnya!

Kalaupun rusuhan cukup bahaya, mungkinkah ada kategorinya? Bila arahan kerajaan ditentang, i.e isu pengurangan babi-babi montok itu, kita dapat lihat penternak membuat sekatan jalan, merusuh, tetapi seekor FRU pun tidak berani bertindak lebih tegas. Mana pergi water canon? Mana pergi gas pemedih mata? Takut kalah undi gamaknya. Itulah nilai 'kemanusiaan kita'.

Sudah lama kita lihat kecelaruan ini. Janganlah jadi juak-juak yang menjilat apa sahaja asalkan poket penuh. Muhasabah diri sebelum diri dihisab!

Pada sahabat yang lain, bila berdepan dengan sesuatu isu di zaman ini, menjadi kewajipan kepada kita untuk menyelidikinya dari segala genap aspek. Jangan jadi pak turut, bertaqlid buta tanpa haluan.

Zaman sekarang sudah ramai orang fasiq, jadi selidikilah berita sebelum buta-buta menerimanya.

Ayat hari ini ;

Firman ALLAH S.W.T. yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu
itu."

[Al Hujurat; 49: 6]


Dan saya petik satu hadith yang disampaikan oleh As Sayyuti dalam Kitab Al Jami’ Kabir, daripada riwayat Ibn Abi Adduniya pada Zimmi al Ghadah daripada Mujahid (hadith mursal) dan Sa’id ibn Mansur daripada Hassan (hadith Mursal), dan al Khara’iti juga meriwayatkan di dalam bab Makaarimul Akhlaq dan al Baihaqi di dalam sunannya daripada Anas]


“ Menyelidiki dengan tenang adalah dari ALLAH dan tergopoh-gopoh itu adalah dari Syaitan."


Cukup banyak isu terpendam, tetapi ketiadaan masa ingin bersembang panjang. Ada ketika kita ketemu lagi.

Abu Nufayl

No comments: