Catatan tertangguh, 28 Jun.
Hari ini Rabu, 28 Jun, dalam perjalanan ke MMC, hari masih berbaur-baur pelbagai perasaan. Ada rasa yang tak seronok, ada rasa berat yang sangat dan ada rasa kosong. Hambar.
Semalam, ada sesuatu yang berlaku. Yang sungguh menjerat rasaku. Kesabaranku selama ini telah sampai ke hujungnya. Pencarianku mencari ikhlas dalam setiap tugas, aku rasa cukuplah saja di sini.
Airmataku mengalir tika dalam bilik kuliah di MMC. Aku tahan rasa, cuba mengail kembali kosentrasi di bilik kuliah. Marah, geram, kecewa...aku kongsi bersama yang berjanji untuk berkongsi hidup. Aku terlajak mengeluarkan kata-kata carut kepada yang dimarahi. "Kafir laknat!" Terlalu marah aku tika itu. Sejurus kemudian, baru teringat untuk istighfar, mohon ampun daripadaNYA atas keterlanjurandan mohon juga ampun jika ujian ini tanda ada salahku padaNYA. Kata zauji, sekesat mana kata kita pada dia pun, tak dapat menyelesaikan masalah. Benar juga ya! Hati mula menapis rasuk syaitan yang bergema.
Petang, lantaran sesi kursus yang diakhiri awal di MMC, aku ke pejabat zauji. Di sana, air mataku mengalir lagi. Sukar berhenti, apabila dirasakan yang memahami ada di sisi. Aku cuba menenangkan diri dan memancing toleransi dalam diri. Akhirnya, api dalam hatiku bagai disimbah air apabila zauji menutur kata lembut, "Bersabarlah, dapat juga pahala."
Aku diam. Bukan mudah melawan rasa yang sedang menggelojak. Bukan senang membunuh bara yang sedang membahang.
Aku cuba menyusur fahmi dalam diri. Menyubur iman dalam jiwa. Agar katanya dapat mengubah gejolak rasa dalam jiwaku agar lebih tenang.
Teringat aku, bukankah Rasulullah juga bersabar apabila dilempar najis tika sedang mengerjakan solat & lalu di bawah rumah si kafir. Jauh benar rasanya, jika cabaran sebegini pun aku tak dapat menahan sabar. Lemahnya iman ini.
Malam, ada masa rehat memandangkan zauji bermurah hati membenarkan sajian pasar malam jadi juadah di malam hari. Usai solat Maghrib, kami duduk dalam halaqah kecil (berdua, sesekali ditemani Nufayl yang lebih sibuk bermain). Madahnya : Menunaikan Amanat & Menjauhi Khianat, daripada Kitab 'Khuluqul Muslim' karangan Muhammad al-Ghazali. Bermula dengan skop amanah secara umum, perlahan-lahan perbicangan masuk kepada isu kerjaya.
Hatiku memang tidak dapat membendung rasa yang berkecamuk dan berat ini. Satu per satu pengisian/hujah yang disampaikan oleh zauji membuatkan hatiku meluahkan rasa melalui air mata. Daripada Maghrib ke 'Isya' ...tanpa henti aku lempias segalanya dalam tangisan yang panjang.
Kenapa?
Banyak isunya yang tidak dapat dijelaskan satu per satu dalam tulisanku di sini. Selama ini pun, berat yang kutanggung selalu kukongsi bersama zauji. Sekali-sekala bersama sahabat seperti Siti. Jarang sekali kutulis tentangnya di blog ini, kerana aku mahu lari daripada dunia kerja yang meletihkan dan menyerabutkan. Aku lebih gemar berkongsi tentang anak dan perkara yang menggembirakan.
Biar apa pun, doaku :
Moga Allah tunjukkan kepada kami (aku & zauji) jalan keluar walau yang tidak pernah kami fikirkan selama ini. Berikanlah sakinah dalam hidup yang fana' ini. Berikan kepuasan dalam diri dalam setiap perkara yang dilakukan, kerana kita hamba Allah yang ditugaskan sebagai khalifah. Masih jauh perjalanan. Sungguh berat amanah ini. Aku pohon sakinah dan jauhkanlah kesempitan rasa serta tekanan jiwa. Aku mahu menjadi insan yang besar jiwanya dalam melaksanakan amanah yang diberikan ini. Ya Allah, jauhkanlah aku daripada qahril rijal.
Aku ingin fana' dunia ini diisi dengan jariah yang dilakukan dengan ikhlas & tenang. Kerana hidup ini sementara. Kerana kesementaraan ini hanya pinjamanNYA yang sebentar. Qabulkanlah Ya Allah.
Aku mengusap sisa-sisa air mata yang bertakung di pipi. Nufayl pun datang, merenung Ummi yang masih berkaca matanya. Dia mencium pipiku, dan tersenyum. Aku dapat merasakan sakinah yang kuhajati. Dia anak tanpa secalit dosa. Itu antara amanah besar hidup di dunia.
~~~~
Ummu Nufayl
Mencari ketenangan abadi.
~30 Jun 2006~
No comments:
Post a Comment