Thursday, May 25, 2006

Nikah Mesyar / Nikah Misyar ??

Sebutan aje… bendanya sama.

Wahh… Terpaku sejenak bila membaca perihal ini hari ini. Fenomena tsumawi berada di pertengahan umur, fenomena nikah misyar pula menapak di Malaysia. Menarik cerita ini. Pasti ramai suami akan membelek kembali kitab-kitab fiqh muktabar untuk mendalami ilmu ini. Sekurang-kurangnya untuk memberikan usrah ringkas kepada para isteri berkaitan bab ini – biarpun dah bertahun tiada usrah –

Bagaimana ya hendak dilaksanakan. Sebelum keretapi bergerak, lokomotif perlu digerakkan dulu. Bila dengar namanya dan maksudnya, agak meragukan. Syiahkah? Orientaliskah? Wahabikah? Orang boleh berdebat tentang itu, namun dalam Islam,

“dalam kebanyakkan kontrak, apa yang menjadi persoalan dan pertikaian adalah motif dan maksudnya, bukan struktur dan perkataan yang digunakan” al-Qardhawi..

Penulis suka menasihatkan agar kita tidak membuat sebarang komentar peribadi terhadap isu ini ; mengikut emosi sendiri kerana ilmu Islam terlalu luas. Jangan sampai kita menghalalkan yang haram mahupun mengharamkan yang halal akibat ulasan cetek kita.

Perkahwinan Misyar sudah agak lama berlaku dalam masyarakat Arab. Cuma bila ia menjadi fenomena kita tidak pasti. Namun, di Arab Saudi ia sudah pun dibolehkan melalui fatwa Sheikh Abdel Aziz bin Baz dan di Mesir oleh Imam Sheikh Mohammed Sayyed Tantawi pada 1999.

Perkahwinan ‘kembara’ ini tidaklah jauh bezanya dengan perkahwinan biasa. Tetapi ia sama sekali berbeza. Pusing bukan? Kenapa tidak berbeza, ia masih lagi memerlukan suami dan isteri. Ia masih memerlukan penyempurnaan rukun dan syarat. Ia masih lagi berlandaskan perundangan Sunnah wal-Jamaah. Tidak ada nas yang menegahnya.

Kenapa ia berbeza? Perkahwinan memerlukan komitmen, penunaian tanggung jawab dan kufu’. Dalam nikah misyar, komitmen adalah sesuatu yang subjektif, kebanyakkan tanggung jawab suami tidak perlu ditunaikan – itulah persetujuannya, dan pastinya kesamaan taraf tidak menjadi isu. Asas misyar itu sendiri ialah perempuan yang berkedudukan lebih tinggi – hartawan, iron lady atau sebagainya tetapi sukar mendapat pasangan boleh memilih untuk meneruskan perkahwinan ini bagi mencari teman hidup. Walaupun lelaki tersebut tukang paip dan perempuan jutawan, jika si perempuan bersetuju, maka ia boleh diteruskan.

Banyak burung belatuk berkata-kata bahawa ini adalah muta’ah versi sunnah. Layak ditampar mulutnya. Menyamakan air susu dengan minuman malt beralkohol, itu lidah cabul namanya. Tidak dinyatakan tarikh perceraian di dalam nikah misyar. Dan had poligaminya tetap 4 orang.

Burung belatuk mematuk batu lagi, menegaskan ia tidak sesuai dengan adat. Mungkin mereka perlu rujuk kepada post terdahulu saya. Tidak sesuai dengan adat, tetapi tidak bersalahan dengan syariat – malah dibolehkan syariat, maka kita tidak boleh menolaknya.
Persoalan nikah misyar, carilah guru dan rujukan mu’tabar untuk mendapat penjelasan lebih. Jangan baca web. Lagipun ini blog, bukan kitab fiqh. Apa yang ingin saya ke utarakan ialah, apakah suasananya bila ia menjadi fenomena di Malaysia. Adakah anak dara dan anak dara tua di Malaysia yang ingin terlibat dalam misyar ini sudah cukup teguh kewangannya? Mampu merelakan si suami untuk tidak memberikan nafkah zahir seperti kediaman dan sokongan kewangan? Mempunyai emosi yang kental untuk berdepan dengan suami yang hanya akan ‘membuat’ lawatan sekali sekala’ bagi menunaikan tanggung jawab batin? Kerana kita tahu wanita Timur, bukan seperti timur tengah, emosinya mudah sangat terusik. Kuis sikit teriak, kuis sikit teresak-esak. Apa akan jadi pula jika jutawan wanita ini, tiba-tiba ingin bermanja dengan suami melalui perkahwinan ini, minta dibelikan berlian RM10k di Poh Kong, kemudian suami si tukang paip menolak kerana tidak mampu, kemudian bergaduh di depan khalayak? Itu perkara yang perlu dipertimbangkan

Keadaan ini membimbangkan kita, tetapi nikah misyar masih lagi dibolehkan. Jangan pula dikatakan tidak!..

Oleh itu saya ulang sekali lagi

“dalam kebanyakkan kontrak, apa yang menjadi persoalan dan pertikaian adalah motif dan maksudnya, bukan struktur dan perkataan yang digunakan” al-Qardhawi..

Saya terbayang, dengan gaji sekecil saya ini ingin terlibat sebagai suami dalam nikah misyar… Saya perlu kental emosi dan berupaya mengawal keegoan saya. Iyalah.. terasa pula sebagai lelaki kita ‘kureng’ sedikit bila dilepaskan tanggung jawab begitu sahaja. Saya masih teringin menunaikan tanggung jawab saya, memberikan nafkah, rumah, kereta Porsche kepada 3 isteri yang saya kahwini melalui nikah ini. Tetapi apakan daya, tidak mampu. Rasanya tercabar juga saya. Lebih-lebih lagi kalau isteri mengatakan, abang tu apa yang mampu. Takat yang boleh bagi tu bagi ajelah. Aduhh.. pedih rasanya..!!

Dan saya mengharapkan adik beradik saya yang lain tidak mengambil kesempatan. Istilahnya nikah misyar, tetapi rupa-rupanya si suami itu VIP, pergi kahwin sekali 2 orang di luar negara. 1 lagi pasangan misyarnya di Malaysia. Tidur satu malam, cerai. Nikah misyar lagi dengan 3 orang. Sedangkan dia VIP, mentang-mentanglah nikah misyar sudah dibenarkan di Malaysia, suka hati pula dia berbuat sedemikian. Kahwin, melaksanakan tanggung jawab batin, kemudian cerai, atau ditinggal, dibiar di perantauan tanpa diberikan nafkah zahir. Alasannya, nikah itu nikah misyar. Walaupun aku VIP, tetapi nikah misyar mengatakan nafkah zahir dilepaskan. Ha.. sudah… burung belatuk mematuk lagi. Kali ini lebih teruk terpapar kebodohannya. Dan lebih sedih, isteri VIP tersebut adalah anak dara tua dari kampung yang kerjanya bertani sahaja….

Perkara ini tampaknya semacam imaginasi liar penulis. Tapi harus diingat, kes-kes ini, yang merupakan keterbalikan matlamat asal nikah misyar ini telah berlaku di kalangan lelaki Kuwait dan Arab Saudi yang kaya raya. Mereka membuat 'lawatan' ke negara-negara miskin, bernikah misyar dan kemudian meninggalkan isteri-isteri mereka yang miskin ini terkapai-kapai setelah habis percutian mereka. Kemudian, setahun lagi baru bertemu, kalau tidakpun tunggulah surat cerai. Inilah yang menyebabkan sesetengah 'ahli' dalam bidang fiqh, berdiam diri bila diminta mengumumkan kehalalan perkara ini.

Penulis suka tersenyum bila melihat isu ini. Kemungkinan-kemungkinan di atas tidaklah menjadikan nikah misyar itu haram. Kita harus ingat, Islam tetap Islam, syariat tetap syariat. Seburuk mana umatnya, Islam tetap suci. Selalai mana pengikutnya, hukum syarak yang membolehkan tetap akan membolehkan. Cuma saya mengharap agar, biarlah rakyat Malaysia ini diberikan tarbiyah secukupnya, barulah isu-isu ini diketengahkan secara umum. Ini tidak, silabus pendidikan agama Islam sekolah menengah pun hanya setaraf dengan tahap 3 pengajian pondok. Tetapi kita menganggap rakyat umum seolah-olah sudah boleh menjadi ulama’ untuk memahami isu sebegini bila disiarkan kepada umum.

Biarlah Majlis Fatwa berbincang, memperincikan qawa’idnya, mengenal pasti method penerangan kepada rakyat, barulah diperdebatkan di peringkat peringkat wartawan yang mengambil jurusan komunikasi media. Ataupun di peringkat umarak yang bukan ulama’. Alangkah baiknya kalau jama'ah umarak kita adalah jama'ah ulama' ... Comel gitu...

Wassalam..


Abu Nufayl

No comments: