Sorry, Ummu Nufayl memang betul-betul tak dapat nak update blog semenjak-dua menjak ni. Tapi, tadi terbaca artikel ni kat Harakahdaily. Menarik utk dikongsi. Bacalah & fikirlah.
Kan orang-orang yang bijak itu sentiasa berfikir :).
~~~~~~
Apabila Sisters in Islam kuasai anak-anak PM
Mon Apr 17, 06 04:34:19 PM Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat
SAYA sempat menyemak maksud monolog seperti yang diberikan kamus, yang bererti sebuah ucapan panjang pelakon dalam sebuah drama atau filem. Namun, tidak pastilah sama ada bercakap seorang itu sesuatu yang sihat atau sebaliknya.
Demikian juga agaknya apa yang dibuat 'tiga pelakon', yakni anak-anak Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri. Mereka bercakap seorang tetapi buah butir mesejnya untuk diperdengarkan. Apa yang lebih dikhuatiri ialah apabila perkara keadilan Islam yang cuba disentuhnya.
Dalam apa jua celoteh, apa yang penting ialah ilmu. Tidak mungkin kritikan yang waras terhadap Islam boleh bertolak dari kejahilan. Mereka bukan setakat berbicara bahkan mengkritik keadilan Islam. Ini perkara serius.
Jika prasyarat seorang pensyarah universiti memerlukan Sijil Sarjana atau Ijazah Kedoktoran sebelum dibenarkan berkuliah maka apakah semua orang boleh berbicara hatta mengkritik mengenai Islam tanpa memerlukan sekerat sijil kelayakan pun. Bolehkah diterima sebarang petani kampung umpama Pak Mat atau Pak Leh membuka kuliah perdana mengenai matematik di London School of Economics?
Saya khuatir, mereka membebel seorang diri, menyatakan sesuatu yang mereka sendiri tidak faham. Mengenai aurat? Mengenai kebebasan asasi? Mengenai hak pemilikan harta? Mengenai keselamatan peribadi? Saya percaya ini semua adalah perkara besar yang tidak boleh didramakan melalui persembahan monolog sesuka hati.
IFC
Sejurus sebelum ini, kita jangan lupa dengan matlamat IFC yang mahu meminda beberapa ajaran asas Islam yang boleh merosakkan akidah umat Islam dan amat berpihak kepada kepentingan orang bukan Islam.
Apa yang menghairankan lagi apabila ia disokong Sisters in Islam (SIS) yang juga penganjur International Consultation on Muslim Family Law yang kita sedang perkatakan ini. Dalam konteks perbincangan, mari kita imbas kembali tujuh tuntutan teras dari 14 tuntutan IFC yang sampai kini masih tidak ditolak kemungkinan pelaksanaannya oleh Kabinet Malaysia.
Ini semua bertujuan untuk mengukur niat IFC, SIS dan siapakah pihak yang bersama mereka:
1. Seseorang anak yang dilahirkan ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
2. Orang bukan Islam yang memeluk agama Islam hendaklah diberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan mahkamah syariah tetapi dikendalikan mahkamah sivil.
4. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam jika ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar Islam (murtad) jika ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.
5. Orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.
6. Orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang bukan Islam.
7. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah. Jika inilah pendirian IFC, sekali gus mencerminkan tahap tasawwur dan kefahaman SIS mengenai Islam, maka rakyat sudah boleh ramalkan buah butir kandungan monolog ketiga-tiga 'wanita pintar' yang dimaksudkan.
Membicarakan Islam, tidak boleh lari dari membicarakan soal petunjuk dan kesesatan. Ini ada disebut oleh kita dengan lafaz “Wa ladh-Dhaalliin” [bukan (pula jalan) mereka yang sesat] setiap kali dalam solat. Sepanjang pengamatan saya, SIS jarang sekali bertolak perbahasannya dari perkara seasas ini, itu pertama.
Kedua, SIS gemar menyentuh konsep sama rata dalam perkara keadilan jantina serta peranan lelaki dan perempuan yakni suami dan isteri. Sekali lagi SIS jarang merujuk premis keadilan yang diiktiraf Islam iaitu meletakkan sesuatu kena pada kejadian dan fitrah semula jadinya.
Golden share
Hatta dalam syarikat sekalipun ada amalan “golden share” iaitu 51:49. Mana ada 50:50? Mesti ada seorang yang dilebihkan untuk memimpin. Demikian juga dalam soal rumah tangga, persaksian, hak mencerai dan pembahagian harta pesaka. Semua ini ada asas dan premis tempat bertolaknya.
Saya cukup percaya pindaan ke atas Undang-Undang Keluarga Islam 2005 telah dirangka bahas dan diperincikan pelbagai fuqaha’ dan ustaz yang pakar dan terlatih dari dalam dan luar negeri. Setelah dibahas dan dipersetujui di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, saya semestinya terkejut apabila ia ditangguhkan.
Benar sungguhkah pihak yang membantah mengasaskan hujah bersandarkan ilmu? Jika diukur sikap keliru SIS yang menyokong 14 tuntutan IFC, maka rakyat mempunyai asas keraguan yang munasabah. “Beyond reasonable doubt” SIS perlu diragui niat suci dan suaranya dalam semua aspek yang menyentuh kepentingan Islam.
Ketiga, saya juga selalu perhatikan bahawa SIS jarang mahu mengaitkan persoalan Islam dengan pahala dan dosa. Bercakap mengenai aurat, keadilan, hak isteri atau apa saja yang memecat eleman dosa pahala samalah seperti amalan orang sekular yang ghairah bercakap mengenai nilai murni.
Ini pun satu lagi aspek yang sering dielakkan SIS sedangkan mereka berulang kali menekankan perkara keadilan untuk menunjukkan kononnya mereka sangat prihatin terhadap Islam.
Pendek kata, pada saya monolog ketiga-tiga pembicara dalam seminar itu cuma bercakap dalam pementasan drama yang ditutup lampunya. Dalam kegelapan itulah ketiga-tiganya meraba seekor gajah dan sedang mengatur khalayak mengikut apa yang disentuhnya.
Panjangnya belalai lalu disebutnya gajah itu bagaikan tali. Lebarnya badan maka disebutlah gajah itu bagaikan dinding dan besarnya kaki lalu diajarnya penonton yang gajah itu bagaikan batang kelapa. Mudah-mudahan, penonton tidak tertipu dengan permainan sarkis si buta.
No comments:
Post a Comment