Asas pertama kejadian ini, bapa pastinya seorang lelaki. Tidak pasti jika ada di antara bapa berjantina wanita. Mungkin secara konsep, bukan secara fizikal. Itu ibu tunggal namanya.
Disebut lelaki, mahu berkongsi cukup sukar. Hinggalah satu masa yang mendesaknya berkongsi, barulah sedikit ruang dibuka. Itupun terhad. Antara desakannya?
- Kesunyian
- Tegang
- Sedih
- Gembira
- Memang hobinya menulis.
Namun sebab-sebab di atas bukan faktor mudah untuk membuatkan bapa menulis. Perlu sampai sunyi, tegang, sedih atau sebagainya pada tahap 8/10 barulah terbuka pintu hati berceloteh. Sebab nombor lima? Itu lain kiranya.
Bagaimana dengan bapa dan anaknya yang ini?
PERTAMA : Sepertimana manusia biasa, harapan memang menggunung tinggi. Sejak mendapat berita hari pertama, meniti hingga hari lahirnya makhluq comel itu ke dunia. Tidak putus harapannya. Memasang pelbagai matlamat dan harapan.
Namun bapa, seorang lelaki, selalu terlupa. ‘Management by objective’ kadang-kadang buat beliau lupa tentang kaedah-kaedah yang halus-halus, terperinci ke arah mencapai matlamat itu. Inginkan anak soleh, doa selepas solat laju sampai terlupa untuk mendoakan anak itu. Ingin anak berakhlaq, ayat quran tidak pun dibaca. Jangankan surah Maryam ataupun Yusuff yang agak mencabar ayatnya, ayat kursi pun jarang diamal membasahi bibir. Tetapi matlamat bapa itu tetap satu. Pinta isterilah yang ingatkan. Sebab isteri suka amalan yang kecil-kecil. Itulah sebabnya lelaki kahwin perempuan. Satu lukis gambar gunung, seorang lagi lakarkan pokoknya. Kalau tidak, gondollah gunung tersebut.
KEDUA : Bapa, pastinya seorang suami kepada bakal ibu kepada bakal anaknya. Isterinya bila hamil, seluruh pelusuk dunia ramuan dan resipi ingin dijamunya. Mahu itu mahukan ini. Lepas satu, dua, lepas dua, tiga puluh jenis macam kehendaknya. Bapa pula, sudah nampak apa yang perlu disediakan 9 bulan lebih yang akan datang. Kalau dulu pakai V-Power, sekarang Ron92. Kalau dulu Pizza 3 hari sekali, kini bertukar kepada nasi bungkus. Maklumlah, perancangan bukan sehari dua. Sekali lagilah isteri perlu peringatkan. Berjimat biar berpada. Jangan tak tercapai hajat si isteri, terjadi apa-apa sebelum waktunya, tidaklah bapa termenung sepanjang hayat. Lagi sekali, patutlah Allah swt kahwinkan lelaki dengan perempuan. Mengimbangi keteguhan ekonomi dunia.
KETIGA : Sesudah lahir, sebaik sahaja lahir, perang saudara bermula. Bapa kata itu anak dan isterinya. Ibu isteri kata itu anaknya dan cucunya. Ibu mertua kata, itu isteri kepada anaknya dan cucunya jua. Mulalah konflik perasaan. Tapi fitrah manusia balik ke asal. Isteri biasanya ‘belot’ sekejap. Balik ke pangkuan ibunya. Itulah wajarnya bila mati, jenazah seseorang dibinkan atau dibintikan ibunya. Suami terkedip-kedip. Anak baru lahir dibawa lari jauh dari pandangan mata. Rindu bapa siapa yang tahu? Sob.. sob.. Tapi Isteri perlu terangkan, kalau suami yang jaga, ketika berpantang, takut pantang sungguh. Terlupa makan dan minum. Jadi, untuk kemaslahatan bersama, biarlah mereka yang lebih kental komitmennya dan kemahirannya menjalankan tugas. Bila sudah rasa mantap, bolehlah pula bapa ambil peranan penuh. Boleh.. katakan boleh… Sementara tu, kumpulkan duit secukupnya, bayar saman hadlaju. Balik kampung seminggu sekali. KL-Perlis 3jam setengah. Pesan kat suami, ingat keluarga tersayang. Namun tak salah bila ada si bapa yang benar-benar komited; ingin menguruskan semuanya sendiri
KEEMPAT : Anak sedang membesar. Ibu lihat semut gigit anak. Bapa lihat, anak tak pengsan sudah kira baik. Ibu berteriak bila anak pegang bunga, bapa kata asalkan tak disengat tebuan sudah cukup bagus. Anak batuk sekali, ibu demam seminggu. Bapa kata, tak sampai 7 tahun lagi hilanglah batuknya. Ibu sakit kepala tengok anak tuang air, bapa kata, jangan banjir rumah sudahlah. Ramai ibu risau. Bapa macam itukah? Ramai bapa kata.. ibu ni nampak segala jenis kuman di dunia? Tapi jelas, itu hikmah kejadian lelaki dan perempuan. Sekali lagi, bapa lukis gunung. Ibu lakar pokok. Anak jadi spesies yang memakmurkan hutan gunung tersebut. Jangan sampai tumbang pokok gondol gunung. Didik isteri agar ketelitian dan kerisauan bersandarkan dalil aqli dan naqli yang wajar. Didik bapa agar pandangan jauhnya berselit kecermatan dan hemah pekerti. InsyaAllah, tarbiyyah anak akan berlangsung dalam keadaan harmoni, berhati-hati, berjiwa besar dan berkeazaman kental.
Ini bukan tarbiyah aulad. Itu lain tulisannya. Ini tarbiyah buat walid. Walid yang mana ya?
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment