Wednesday, January 16, 2013

LISTEN! LISTEN! LISTEN!.. LET ME SPEAK!



‘Virus’ terbaru yang menular telahpun menjadi fenomena pantas di Malaysia, malah mungkin telah tembus ke beberapa negara luar seperti Brunei, Thailand, Indonesia dan Singapura
.
Walaupun tidak menjangka akan berterusan lama, masih boleh dikatakan, ini merupakan pencapaian yang hebat apabila dua wanita yang pertamanya tiada jawatan prima dalam politik, tidak pun dikenali masyarakat besar sebelum ini, dan tidak juga siapa yang mengaku mengenali beliau sehingga kini, berjaya mencetus fenomena ini dalam tempoh sekelip mata. Manakala wanita yang kedua menepati ciri-ciri yang pertama, cuma bezanya nasib beliau berubah menjadi pujaan masyarakat apabila semua mula menyanjungnya dan ingin mengaku mengenali beliau. Dan saya terpaksa mengakui mengenali beliau sebagai seorang yang aktif dengan aktiviti kepimpinan kemahasiswaan, cuma beliau tidak mengenali saya
.
Impak peristiwa yang berlaku melampaui senario politik semasa secara santai dan tajam. Tanpa perlu membuka siaran lawak jenaka, ia masih mampu menyejukkan sebentar kepanasan kepala menghadap politikus menjawab sana-sini bagi menjustifikasikan kebenaran perjuangan masing-masing. Dan kesannya ini jelas merentas segala elemen kemasyarakatan yang wujud, pastinya kerana ia melibatkan tunjang sosial negara dan budaya timur rantau ini. 

Pertembungan ini boleh sahaja dilihat pertembungan bangsa, boleh juga dilihat pertembungan ideologi politik, atau pertembungan orang tua orang muda, atau pertembungan golongan terpelajar dengan golongan kurang ajar, atau juga pertembungan tata susila adat dan agama. Ia boleh diulas dari apa jua perspektif, menjadikannya unik dan hangat, dan pastinya segar, lantas menarik minat bukan sahaja golongan intelek, malahan agamawan, politikus, atas pagar, artis, pakcik sawah mahupun nelayan di laut dan mungkin haiwan yang melata jika mereka bijak membaca (memetik rujukan Sang Moderator)
Semuanya bermula apabila manusia bereaksi kepada aksi pembodohan. Sudah ditakdirkan manusia punyai akal, sentiasa berakal, cuma kadangkala terlupa untuk digunakan dengan tepat. Ia merupakan satu elemen gila kuasa tetapi berlaku pada skala kecil. Gila kuasa apabila ada mikrofon di tangan sehinggakan merampas hak berbicara seorang yang lain. Gila kuasa apabila tersilap meletakkan peranan diri sebagai diktator walaupun asalnya cuma seorang moderator. Gila kuasa sebagai seorang intelek, walaupun bezanya O’level dan Ijazah itu cuma kurang lebih 4 – 5 tahun perjalanan jam sahaja dan tidak memerlukan roket untuk sampai. Dan gila kuasa untuk menonjolkan diri berilmu dengan meremehkan perbandingan insan lain yang penuh dengan statistik dan fakta walaupun diri sendiri hanya mampu membacakan kembali kamus haiwan yang boleh sahaja turut disebut oleh kanak-kanak di kelas peralihan.

Gila kuasa ini bergabung dengan emosi tahap rendah dengan mentahnya strategi politik menzahirkan watak fizikal yang dilihat sebagai al-kibr. Membesarkan diri dan meremehkan orang lain.Sifat mazhmummah ini ada dalam kebanyakkan diri manusia. Cuma ia kadangkala terselindung dan kadangkala terzahir tanpa sedar. Kali ini kepada Sang Moderator tersebut ia terzahir kerana beliau bukanlah ahli agama yang warak untuk berkelakuan seperti malaikat, dan beliau juga bukanlah politikus licik yang bijak berhipokrisi. Beliau hanya seorang manusia yang belum cukup pra syarat untuk berdepan khalayak dengan tenang dan sopan.

Setelah menghadam semua yang di atas, kerana apakah perisitiwa meletus laharnya? Bukankah ia sentiasa berlaku di pelbagai peringkat? Tidak salah untuk kita katakan apabila minyak sendiri-sendiri atau api sendiri- sendiri tidak akan memudaratkan. Bila ada bahan yang akan terbakar barulah ia membakar dan menghancurkan.

Sang moderator harus ingat, beliau berdepan dengan beberapa elemen besar masyarakat ketika memegang mikrofon tersebut. Pertama, melibatkan seorang individu bergelar MAHASISWA yang sedang bergerak ke zon bijak dan tidak boleh diperbodohkan, kedua, ALAM MAYA yang tidak boleh ditutup walau dengan bangkai gajah sekalipun, ketiga MASYARAKAT KRITIS yang apabila diikat mata mulut bercakap, disumbat mulut tangan menaip, diikat tangan jiran membantu dan keempat beliau telah terlajak menzahirkan TUTUR BICARA KHALAYAK dengan kalimah dan intonasi yang tidak dapat diterima baik di benua timur, barat, utara mahupun selatan.

Elemen-elemen ini adalah antara titik sensitif yang wujud dan perlu dijaga oleh sesiapa sahaja yang ingin meneruskan kehidupan dengan tenang dalam masyarakat majmuk berbilang bangsa, agama dan daya intelek ini. Baik anda ahli politik, ulama, pelajar, pensyarah, doktor perubatan atau apa sahaja gelaran.

Kepada pelajar yang pada pandangan masyarakat telah dimangsai, percayalah, ia tidak seteruk mana. Anda bukan mangsa, tetapi penerima anugerah. Tidak mudah untuk berdepan dengan rasa aib begitu, tetapi ia hanya berlangsung kurang lebih suku jam. Selebihnya ia adalah anugerah proses pembelajaran yang amat berguna kepada anda dalam berdepan dengan masyarakat sebenar. Ramai lagi yang sebegitu sifatnya dan jika anda tidak berada pada platform pada hari itu, anda tidak akan mengenal manusia dengan lebih baik. Maka berterima kasihlah kepada guru segera yang datang dari jauh menceruk masuk ke universiti anda untuk memberikan pendidikan percuma dan segera ini. Syabas! Dan ingatlah, janganlah menjadikannya sebagai satu wadah untuk meraih populariti segera yang tersilap langkah mencambah ego dalam diri pada fasa kehidupan yang akan datang.

Kepada rakan-rakan pelajar tadi, ramai yang mengecam dan mencemuh. Namun harus difahami, proses indoktrinasi menggunakan peluru tabur, yang dilambakkan kepada umat muda yang belum pernah mengenal erti susah dan payah sebenar kehidupan. Dan tidak pernah diterjah dengan keganasan moderator seperti Sang Moderator tadi, sangat sukar untuk ditentang oleh minda lemah.

Mahasiswa yang berada di dalam dewan sana terbahagi kepada pertama, KELOMPOK LEMAH MINDA LEMBIK JIWA yang akan mengiakan mencacai apa sahaja dengan penuh rela asalkan tidak terusik periuk nasik dan matlamat mereka. Kepada golongan ini, dinasihatkan untuk mengambil kursus asas masakan dan penyediaan makanan. Agar tepat dikenali sebagai mahasiswa makanan, atau mahasiswa periuk nasi. Kedua kelompok yang TIDAK LEMAH MINDA TETAPI TEKUN MENCERNA SUASANA. Memikirkan kemaslahatan jangka panjang, membina kewibawaan dalam diam lantas akan berupaya menzahirkan kekuatan kemahasiswaan dalam proses jangka panjang berbanding jika terus membantah lantas akan dihantar ke universiti lain atau ke negara lain (memetik idea Sang Moderator). Ketiga adalah kelompok yang TIDAK AMBIL KISAH baik periuk nasi atau kewibawaan kemahasiswaan. Mereka ini datang untuk membeli, merebus dan menggoreng segala apa yang berkaitan akademik, lantas ditelan semahunya biarpun dunia kiamat dan bulan bintang terhempas di depan mata. Kelompok keempat yang nampaknya tidak muncul pada hari tersebut, melainkan mangsa, adalah yang KUAT MINDA, KENTAL TEKADNYA. Mewujudkan lebih ramai kelompok keempat ini, yang merupakan mercu tanda sebenar dunia mahasiswa yang berakar umbi berpuluh tahun yang lepas, mungkin memerlukan pengislahan sistem pendidikan burung belatuk dicengkam singa, mengangguk sambil menangis, untuk dipindah kepada sistem yang lebih memuliakan daya intelek mahasiswa sejak dari awal.

Akhir bicara, menelah isu ini dari banyak perspektif, memberikan kita pengajaran cukup bermakna agar pertama, diri kita sendiri tidak melakukan yang sedemikian terhadap orang lain bagi memastikan kemuliaan diri kita sebagai khalifah Allah terpelihara. Kedua, sama-sama kita menarik nafas yang dalam, betapa di luar dunia kita, wujud manusia seperti Sang Moderator, baik sedar atau tidak sedar, mencium harumnya bau ideologi yang diyakini betul, sehingga dengan semberono melupakan bahawa, yang dikata betul boleh jadi salah dengan kesilapan strategi kita menzahirkan sokongan, dan pada masa yang sama terlupa, bahawa bukan kita dan pujaan kita seorang sahaja yang ada akal dan otak di dunia ini.

Namun jauh dari itu, kita harus sedar bahawa mana-mana daripada mereka masih lagi berada di bawah lingkungan dakwah kita. Dalam rasa amarah saya kepada Sang Moderator, saya masih lagi tersentuh dengan salah satu ucapan beliau, lebih kurangnya bermaksud, walaupun beliau belum lagi cukup lengkap sepenuhnya sebagai seorang Muslim tetapi insyaAllah pada masa mendatang beliau akan menjadi muslim yang baik. Dan menutup artikel ini, saya ingin tekankan, jika kita mengaku menjadi dai’e, wahai para du’at, jangan tinggalkan ruang dalam hati untuk tidak berasa cakna dengan kata-kata tersebut.

Firman Allah SWT bermaksud

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang shalih dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?

Fussilat : 33