Thursday, February 16, 2012

Tuailah Manisnya Hari Ini....

Bismillahi Walhamdulillah Wassolaati Wassalaamu 'ala Rasuulillah.

Meramal kepastian apa yang bakal berlaku pada hari esok adalah salah satu daripada perkara mustahil yang boleh kita lakukan. Jangankan hari, jam, minit, saat seterusnya juga tidak dapat diramalkan oleh kita. Malah huruf seterusnya yang mungkin timbul setiap kali kita menaip papan kekunci pun tak dapat kita pastikan apa yang bakal keluar. Tersilap tekan, R jadi T, S jadi D dan begitulah seterusnya. Hanya Allah Maha Penentu dan Penunai Taqdir.

Setiap kali menuruni tangga kita pasti berhati-hati dengan langkah kita agar tidak tergelincir. Setiap kali kita melahirkan perasaan kita sejauh mana kita berfikir untuk memastikan orang lain tidak terpukul dengan perbuatan kita itu?

Saya selalu beringat hatta tatkala terlalu marah sekalipun, perlu dibuat pertimbangan, adakah marah itu mendidik ataupun hanya nafsu marah. Marahkan anak kecil, adakah kerana salahnya atau kerana sayangnya kita agar dia tidak mengulanginya ketika besar? Marahkan pasangan, adakah kemarahan itu boleh mengundang senyuman kita jika beliau meninggalkan kita esok hari?

Kadangkala kita lupa, respon yang kita berikan lebih banyak merosakkan diri kita dan orang yang kita sayangi di kemudian hari. Baik dari segi emosi mahupun mental.

Saya pernah bertemu balu yang tidak ingin berkahwin lagi selama berbelas tahun kerana tidak sanggup 'mengkhianati' kasih arwah suaminya. Dan duda yang tidak ingin mencari isteri baru hanya kerana tidak tega teringkatkan wajah isteri yang telah bertahun meninggalkannya. Semua ini adalah hasil semaian yang baik, walaupun kelihatan melampau pada sesetengah pihak.

Bukanlah tidak kahwin atau kahwin lagi yang menjadi isunya. Kahwin baru itu tiada salahnya, malah ia adalah sunnah,  tetapi sebab tidak mahu berkahwin  itu yang menjadikannya klasik dan sentimental nilainya.

Namun jangan lupa  ada juga kita bertemu pasangan yang telah pun berdoa  berharap agar dijodohkan suami atau isteri lain di akhirat kelak dan bukannya suami atau isterinya di dunia. Ini juga salah satu contoh ekstrem kegagalan penyemaian benih kasih sayang dalam ikatan kekeluargaan.

Bukanlah saya ingin mencoret terlalu panjang, tetapi renung-renungkanlah, saban hari, ada anak melambai kepulangan bapa, kurang 3 minit kepalanya pecah dipijak kereta bapanya sendiri yang mengundur tanpa disengajakan. Seorang isteri yang mencium dahi suaminya pada jam 7.30 pagi di pintu rumah, dan jam 4 petang mencium dahi JENAZAH suaminya itu yang kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja. Kita juga ketemu kisah suami mencium pipi isteri di pintu pejabat pada paginya, dan pada malamnya hanya tersandar di dinding melihat jenazah isteri yang mati mengejut akibat serangan jantung.

Semalam yang indah tidak semestinya menjamin kenangan yang manis pada keesokan harinya. Apatah lagi jika hari sebelumnya adalah hari yang teruk, dahsyat, penuh dengan kebencian, pergaduhan, amarah dan sindiran ; Adakah kita mampu menanggung sesalan, jika yang tersayang tidak kembali lagi untuk kita belainya seperti biasa?

Semailah benih kemanisan setiap hari, agar rasanya kekal berbekas manisnya itu walau dalam kepahitan taqdir.

Wallahu a'lam.

Wednesday, February 08, 2012

Redhai Pemberian, Jauhi Ketagihan

Kita pasti pernah menjadi penagih. Dan mungkin pernah menjadi pengedar. Cuma skalanya sahaja yang berbeza iaitu yang mana lebih dominan.

Dalam kebanyakan peristiwa, pengedar yang tidak menagih dadah yang diedar biasanya akan menjadi kaya raya. Manakala pengedar yang menagih dadah yang diedarnya akan juga menjadi kaya, tetapi hidupnya kurang menentu. Dan yang pasti, si penagih yang hanya menagihlah yang paling miskin dan paling hancur hidup mereka di antara ketiga-tiga golongan ini.

Mungkin apa yang tercatat di atas terlalu keras untuk perbandingan. Namun itulah realiti yang paling senang kita cam dalam kehidupan kita. Apa yang ingin diketengahkan kali ini bukanlah isu dadah, tetapi pengedar dan penagih emosi , jiwa dan perasaan.  

Sebagai seorang pemandu, pernahkah kita memberikan laluan kepada pemandu lain yang memotong barisan, atau yang ingin membelok ke simpang, lalu kita berasa marah dan kecewa apabila mereka tidak langsung melemparkan senyum, apatah lagi mengangkat tangan tanda terima kasih?

Jika bukan sebagai pemandu, pernahkan kita sebagai jiran atau rakan, menyedekahkan makanan kepada mereka, kemudian kita terasa sedikit kecil hati apabila tiada ucapan terima kasih, apatah lagi balasan makanan itu? 

Dan contoh ketiga, pernahkah kita terasa marah, atau tersentuh hati apabila anak-anak seolah-olah tidak menghargai pemberian kita, ataupun pengorbanan masa dan wang kita membawa mereka bersiar-siar, namun dalam perjalanan pulang mereka mula merungut tidak cukup itu dan tidak cukup ini. Jangankan berterima kasih, merungut lagi. Sedikit kecewa bukan?

Jika kita pernah terasa hati, terkecil hati, jauh hati, kecewa, marah atau apapun juga dalam diri kita, percayalah, jauh di sudut hati kita, kita berada dalam golongan pengedar yang turut menagih bahan yang diedarkan. Dengan lebih tepat, kita sentiasa meletakkan harapan perbuatan kita dibalas dengan nyata dan jelas, dan mengetepikan secara tidak sedar bahawa Allah sebenarnya telah memberikan kita suatu kedudukan tertentu dengan pengorbanan yang kita telah lakukan. 

Kita memberikan jalan kepada pemandu lain, tanpa mengharapkan mereka berterima kasih, maka pahala memberi akan kita perolehi ditambah dengan TIDAK ADA rasa kecewa apabila tidak dihargai.
Kita memberikan makanan kepada jiran dan rakan, pahala memberi akan diberikan Allah, ditambah dengan TIDAK ADA rasa kecewa apabil tidak dibalas dengan ucapan terima kasih.

Kita mengorbankan masa dan wang untuk anak-anak, insyaAllah ganjarannya ada pada mata Allah SWT, TANPA RASA KECEWA apabila mereka kembali merungut. Itulah anak-anak. Mereka tetap anak-anak yang tidak memandang jauh. Tetapi adakah kita perlu turut menjeruk rasa dengan keletah ini? 

Dengan mengharapkan balasan, kita sebenarnya menambahkan bebanan kepada perasan dan emosi kita. Kita memberikan peluang kepada rasa kecewa dan marah. Akhirnya, kerana kita sendiri, hati akan binasa, silaturrahim tidak akan erat dan mantap, dan kasih sayang sentiasa berakhir dengan ungkitan dan kekecewaan. Alangkah ruginya sejenak hidup kita ini jika hanya memikirkan apa sepatutnya kita perolehi kembali.

Namun, secebis nasihat buat pihak yang menerima, berterima kasihlah kerana itu tanggung jawab kita selaku manusia, muslim dan makhluq berakhlaq dan beraqal untuk memuliakan pengorbanan dan perjuangan orang lain, baik keluarga, jiran, rakan mahupun rakan sekerja.

Cuma apa yang pasti kita yang menjadi ‘pengedar’ ini, teruslah mengedarkan segala kemampuan kita tanpa perlu menagih balasannya daripada si penerima. Anggaplah tugas kita selesai sebaik sahaja kita melaksanakan tanggung jawab kita. Pohonlah pada Allah untuk membalasnya dengan syurgaNya. 

Nikmatilah lazatnya memberi.Usah memandang terlalu jauh ke depan, dan usah pula membayang kemanisan yang lampau. 

Percayalah, mengharapkan terlalu banyak dari sesama makhluq, hanya akan mengundang kekecewaan, keresahan, kesedihan, kemarahan dan lebih teruk, kelak jika tidak dikawal, akan merimaskan si penerima, dan mungkin suatu masa, akan turut meretakkan ukhuwwah yang terbina.

Teruskan mengedar, hentikan menagih. Sedikit mengharap, banyakkan berdoa. Sekadar pesan buat diri, keluarga dan sahabat.

Wallahualam.