Monday, August 20, 2007

LAGU KEBANGSAAN

31 Ogos 2007 bakal menjelma. Semangat kemerdekaan dah muncul dah rasanya. Erm.. yaa.. semangat.Kita mestilah bersyukur dengan kemerdekaan yang telah dicapai Malaysia; kini telah pun mencecah tahun ke-50. Malaysiaku, negara Islam yang makmur, harmoni, sejahtera dan penuh dengan pembangunan.. Fizikal.

Mula la tu. Sebelum lebih jauh, Abu Nufayl rasa seronok dengan semangat patriotik yang warga Malaysia tunjukkan. Dan ada segelintirnya yang kurang siviknya. Bukan sengaja, tapi jahil gamaknya dengan perundangan dan perlembagaan negara. Mahu main-main katanya. Dan lagi katanya, tidak sengaja.

Walhasilnya, gelap masa depan. Tiada lagi pengampunan. Tidak sengaja bukan satu alasan kukuh. Tidak tahu juga bukan satu alasan logik. Berpuluh tahun jadi anak Malaysia, masakan tidak tahu. Gedegum... Hukuman akan dijatuhkan. Tiada rakyat Malaysia, waima ahli kabinet yang boleh memaafkan kesalahan ini. Ini kesalahan terhadap negara. Mesti dan tidak boleh tidak, pengajaran harus diberikan.

TEGAS. Itu komen saya bila melihat kepada isu ini. Baguslah. Ada juga pemahaman yang jelas terhadap pengertian undang-undang. Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang. Pengampunan bukan milik rakyat, ia milik perlembagaan!

Saya tampak cukup bersemangat kali ini. Cintakan negara gamaknya. Betullah tu.

Cuma...

Alangkah indahnya ketegasan itu turut digunapakai terhadap perundangan Islam. Penganut agama Islam, contohnya jika melakukan kemaksiatan terhadap agama dan Allah, wajar dihukum. Wajib dihukum. Jika tertangkap di dalam pub, berpakaian seksi, minum arak, mesti dihukum. Jika bersubahat dengan membiarkan gejala perjudian dengan memberikan lesen, juga wajib dihukum. Jika melanggar syariat, baik dari berseluar pendek, tidak bertudung, memakai pakaian ketat menggiurkan, meraikan agama lain seolah-olah merelainya, juga wajib dihukum.

Dan hukuman ini, tidak ada mana-mana umat Islam yang boleh mendabik dada memberikan justifikasi dengan membuat hukum sendiri. Apatah lagi memaafkan atau menghalalkannya! Itu munafik namanya jika semangat cinta negara melepasi ketaatan terhadap hukum Allah. Malah boleh membawa kepada kekafiran jika i'tiqadnya mengatakan syariat Islam tidak sesuai dengan zaman atau perlu dihalakan hanya kerana meraikan penganut agama kufur yang tidak pun pernah ingin meraikan keterbukaan Islam. Malah sentiasa mengintai peluang menginjak kepala dan hati umat Islam.

Sayangnya, kita lepaskan kemaksiatan ini. Alasannya, ada penganut agama lain. Alasannya, mereka tidak sengaja. Mereka tidak tahu. Kepala beku apakah ini mengguna pakai alasan picisan, goblok dan 'moron' ini. Nyahlah dari rahmat Allah, bagi mereka yang merasa seronok meninggalkan prinsip perundangan Islam, tetapi mengangkat KERIS, menyatakan mereka perjuang perlembagaan, pejuang bangsa.

Allah telah pun memberikan satu kisah untuk kita teladani melalui kes penghinaan lagu kebangsaan kita ini. Betapa zalimnya kita bila secara tidak sedar kita telah pun menjadi penganut fahaman kebangsaan, tanpa sedikit rasa jelik meninggalkan aturan kehidupan dan perundangan Islam.

Sedarlah, kita wajib menyayangi negara bangsa. Tetapi sanjungan mutlak kita hanyalah al-Quran dan Sunnah.

Wallahua'lam.

No comments: