Friday, March 02, 2007

Aku Mahu Kaya!! Saaangat Kaya...

“Setiap orang dapat diterima atau ditolak perkataannya, kecuali penghuni kubur ini (yaitu Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wa sallam).” Imam Malik RA.

Maka tidak layak seorang muslim memaksakan pendapatnya kepada saudaranya yang lain dalam hal-hal fiqhiyyah yang berada dalam ruang lingkup ijtihadiyah.

Saya cukup suka mendengar kedua-dua dua ayat di atas. Yang pertama, memang jelas dan tidak dipertikaikan. Yang kedua, juga tepat.

Bezanya, ayat yang kedua kerap disalahguna oleh mereka yang ketegar dalam isu hukum dan perundangan Islam. Malah, jadinya semua perkara dalam kehidupan diletakkan di bawah bab ijtihadiyah. Semua perkara, saya ulang, semua perkara. Masalahnya, bolehkah begitu? dan jika boleh, adakah yang boleh berijtihad itu kita? Hurmm..

Teman hidup bersuara semalam, bagi idea untuk saya menulis. Ada orang mahu baca katanya. Masalahnya, saya tak akan menulis bila ingin ia dibaca. Kalau saya mahu tulis, saya tulislah. Kalau tak mahu, tak mahulah. Itu ijtihad saya. Betul begitu? Boleh begitu? Jangan risau, bukan bercerita pasal hukum hari ini. Ramai lebih mahir dari saya. Mari kita baca ;

Perbualan 1 : Bang, banyak duit ni, gerenti lagi boleh dapat. Tak rugi punya
Perbualan 2 : Dik, mari join, boleh dapat ramai kawan. Orang bawah pun gerenti kita boleh atur.
Perbualan 3 : Encik, apasal barang ni mahal sangat. Secara saintifiknya, kualitinya lebih kurang dengan barang jenama lain berharga separuh dari ini. Kenapa untung banyak sangat? Nak salur ke mana duit tu? Sedekah anak yatim ka?
Perbualan 4 : Saya join ni bukan nak beli atau guna barang, tapi nak cari untung komisyen. 40% harga barang akan jadi komisyen saya tau. Kalau orang lain tolong, lagilah banyak. Tak akan rugi punya.
Perbualan 5 : Pernah dengar tak, bila letak aja duit, confirm tak rugi. Akhir tahun akan dapat sejumlah sekian dan sekian bang. Confirm, tak kurang sikit pun.
Perbualan 6 : Encik akan dapat pulangan dalam bentuk MUDHARABAH ni. Mudharabah tu la... yang Islamik tu la. Yang untung banyak tu. Bila, ermm.. tak sure.. Tapi fix ni. Betul ni.

Percayalah, isi bicara di atas adalah antara yang akan membuatkan saya angkat kaki sebelum sempat memakai sepatu. Perkataan 'gerenti', 'confirm', 'banyak' sebenarnya lebih merisaukan saya berbanding perkataan 'tak pasti', 'kita cuba' atau 'kita pasrah sajalah'. Lebih-lebih lagi ia berada dalam ruang lingkup khilafiyah, yang mungkin menjunamkan kita ke dalam lubuk kesamaran, wal'iyazubillah.

Aduh.. bila terfikir mahu upgrade kehidupan. Isteri mahu saya pakaikan emas bersalut berlian, madunya pula ingin saya upgradekan sound system dan performance enjinnya, anak mahu saya borong Toys'rUs di Subang Parade, rumah, mahu aja dipasang lantai kaca kalis peluru. Diri sendiri, pasti mahu senang setara dengan pendapatan sedia ada. Sekurangnya ala Donald Trump.

Semuanya saya ingin kejar. Tapi sedari kecil, saya meletakkan garisan kesederhanaan dalam kehidupan, dengan sub-clausenya, bawah sedikit dari garis itu. Bukan atas sedikit, tetapi biar susah sikiiiit dari yang sederhana.

Dengan corak itu, saya dapat rasakan ketenangan yang amat, khususnya dalam perancangan keseluruhan kehidupan. Tidaklah miskin atau papa, tetapi sekurang-kurangnya tidak trigger nafsu yang bukan bukan. Tidak pernah terlintas dalam fikiran ini perkara-perkara seperti :

Satu : Alamak, performance dapat level 2, habis la bonus tahun ni.

Dua : Aiseeh, bonus 2.5 bulan aja ka?

Tiga : Ermm, kenapa dia boleh dapat 4, mesti banyak bonusnya.

Empat : Alahai, dapat ESOS, bila jual semuanya baru dapat seribu aja!

Lima : Kenaikan gaji aja? Penyelarasan kata nak bagi.. Ampehh.. mintak la dapat semua tu.


Inilah lima daripada puluhan kenyataan yang insyaAllah TIDAK akan terkeluar dari hati kecil ini. Ayatnya senang, walau sepuluh sen, itulah rezeki. Walaupun setapak langkah sahaja ke depan, itulah kemajuan namanya. Malahan sepuluh sen bagi kanak-kanak di Palestin, dan setapak bagi seorang yang kudung kakinya, lebih berharga dari emas. Kita suka abaikan semua ini. Tangisilah ketamakan kita di dunia ini.

Kontroversi bakal berlaku dengan kenyataan ini, tetapi saya teringat pesanan yang diberikan pada isteri satu masa dahulu ; kita akan jadi kaya sekaya mungkin, tetapi selagi mana kekayaan itu tidak menjadi sesuatu yang dharurat, layanilah ia seperti yang sepatutnya. Klasifikasikan dahulu yang mana satu, ini untuk saya, dan kami yang berpendapatan sederhana ini.

Dharurat -
tiada ia, matilah kita. Baik fizikal mati, atau akal mati. Contohnya makanan ketika lapar, minuman ketika dahaga, agama untuk menyempurnakan Rukun Islam dan Iman, akal fikiran, keluarga, maruah, harta membiayai kehidupan seharian agar tidak mati kebulur, pakaian untuk menutup aurat, wang untuk menyempurnakan rukun Islam kelima dan seumpamanya

Keperluan -
keperluan kita selanjutnya yang perlu dipenuhi. Fizikal yang sihat. Ilmu agama yang mantap untuk di bawa ke kubur dan diajar kepada ahli keluarga. Amal ibadat yang istiqamah. Pakaian yang manis dipandang mata untuk keperluan pergi ke pelbagai majlis berlainan. Tayar yang mahal sedikit untuk keselamatan dan ketenangan pemanduan. Sistem audio yang boleh mengelakkan mengantuk. Barang kemas anak isteri agar tidaklah nampak fakir mereka ini dan seumpamanya. Wang simpanan perlu ada untuk kecemasan dan pendidikan. Dan makanan untuk memastikan tubuh badan nampak seksi dipandang pasangan masing-masing. :)

Penyempurnaan -
kesenangan yang atas sedikit dari kebiasaan, berbentuk penyempurnaan,
biasanya kehendak. Keretanya mewah 6 pintu, rumahnya agam 5 tingkat duduk 2 orang, barang kemasnya banyak sampai takut nak kira zakat. Wang simpanan yang lebih banyak dari yang sudah banyak dan lebih banyak daripada itu (bila kesudahannya?), dan senarai ini berterusan.

Jika kita melihat keseluruhan hidup kita sebagai hamba Allah, rasa bersyukur perlu sentiasa ada atas apa yang kita miliki. Setelah bersyukur dan redha, bukan maknanya kita tidak perlu lagi mencari harta dan kemewahan, tetapi jangan jadikan ia sebagai 'pemandu' kita. Kehidupan cukup singkat. Kita perlu lebih risaukan aqidah anak-anak kita, dari merisaukan duitnya setelah kita meninggal.

Saya pernah 'ter'tegur (secara baik) seorang yang di ambang maut, bila beliau mengucapkan, "aku takut anak bini aku tak makan lepas aku tak ada". Secara sopan, saya maklumkan kepadanya, kerisauan itu hanya valid ketika beliau masih segar, sekarang, bertaubatlah secukupnya dan doakanlah segala amalan ketika hidup segar itu akan bertukar menjadi syafa'at (bantuan) ketika berhadapan dengan munkar nakir, siksa kubur, siksaan padang mahsyar, titian sirat dan segala macam lagi kelak. Itulah kerisauan sebenar kita selaku manusia di hujung kehidupan.
Ingatlah alam cipataan Tuhan terlalu kaya buat manusia. Pastinya mereka yang masih hidup akan dapat meneruskan kehidupan walau dengan memakan daun kayu dan air sungai sekalipun. Asalkan mereka ingin berikhtiar. Tetapi ketetapan selepas mati, tiada lagi tolak ansurnya.

Kan dah kata, bukan niat saya ingin berhujah mengenai segala macam hukum hari ini, tetapi di akhir cerita, pejamkan mata kita, cuba bilang, berapa peratuskah perbuatan kita akan menjadi pembantu selepas matinya kita, dan berapa peratuskah pula akan menjadi pemberat amalan buruk kita yang natijahnya hanya satu, dan semua sudahpun sedia maklum.


Haram itu bukan hanya judi, arak dan khinzir semata-mata. Khayalan kita juga boleh jadi haram jika silap caranya. Apa lagi perbuatan yang menyimpang dari ketetapan syari'at.

Moga diampunkan dosa insan lemah ini. Allah Maha Mengetahui segalanya.
Wassalam

No comments: