Orang tanya lagi, Abu Nufayl kan suka menulis dan update blog hari Jumaat. Jawapannya, ikut sukalah. Hari apa pun. Tapi sedaya mungkin Abu Nufayl selesaikan semua kerja dalam Quadrant 2 pada hari Selasa, Rabu dan Khamis. Jadi hari Jumaat tinggal yang Quadrant 1 sahaja. Kalau tak ada yang perlu disegerakan bolehlah rayakan hari Jumaat. Bakinya bawa ke hari Isnin minggu seterusnya. Itulah sebabnya kebetulan menulis pada hari Jumaat. Bukan lama, dalam 10 minit selesai la kalau setakat nak menulis. Bukan nak ada kena buat proof check pun. Reliability check pun pada fakta aja, protokol-protokol lain tak main la. Hehe..
Panjang intro kat atas. Tajuknya belum berubah. Bila kita lihat manusia, selalunya tidak dapat lari dari ‘kebiasaan’. Ada orang sebut kebiasaan. Ada orang sebut tabiat. Ada orang sebut kelaziman. Ada orang sebut jumud sebab tak ‘out of the box’. Tapi pada saya, semua itu tak penting, asalkan jangan jadikan ‘kebiasaan’ tu penentu muktamad dalam kehidupan.
Jangan jadikan kebiasaan, atau adat ini sebagai penghalang kemajuan diri, keluarga dan lebih-lebih lagi agama. Kebiasaan pada perkara berbentuk aqidah, dan segala macam ketetapan syariat yang telah ditentukan melalui nas dan dalil itu wajib. Tidak boleh diubah. Tetapi…
Kebiasaan pada sesetengah perkara furu’, dan perkara-perkara duniawi seperti adat masyarakat setempat, tingkah laku dalam keluarga dan seumpamanya perlu diberi perhatian yang lebih teliti. Adat perlu dipertahankan, tetapi jangan mencarik hukum. Adat boleh menjadi penentu hukum, tetapi bukan semua adat sedemikian.
Masalah kita semua, sebagai manusia berjiwa kecil, bila mempositifkan perkara A, kita cenderung untuk negatifkan perkara B. Itulah masalah adat. Contohnya, ADAB Islam, yang turut digariskan oleh Rasulullah SAW, membeli sesuatu atau berbuat sesuatu sesuai pada hari-hari tertentu. Seperti Khamis, Jumaat dan sebagainya. Itu benar. Tetapi apabila ia meresap sebagai ADAT, mulalah dikatakan hari Selasa dan Rabu sebagai hari yang sial untuk melakukan pembelian. Tuan Guru mana yang mengajar ini semua?
Adab Islam mengatakan jika kebiasaan dalam sesuatu kelompok telah diterima dengan senang hati oleh kelompok tersebut, maka ia dibolehkan untuk diamalkan dalam kelompok berkenaan. Contohnya bercakap dengan agak kasar kerana datang dari suatu negara atau negeri tertentu. Di kelompok tersebut tidak menjadi masalah. Tetapi bila pada manusia, perkara tersebut dijadikan alasan.
“Maaflah, saya dari X, saya dari Y, memang terbiasa dengan kekasaran ini. Jadi, faham-faham sahajalah”.
Wah.. mudah sungguh meletakkan justifikasi sedemikian. Kalau saya, kenapa ingin saya terima justifikasi sedemikian? Bukankah Islam itu universal. Dari mana kamu datang, kamu tetap beragama Islam. Bukankah Rasulullah SAW itu dari bangsa Quraisy? Bagaimana pula baginda boleh menjadi begitu berlemah lembut dalam tutur bicara dan perbuatannya? Ikutlah kandang mana yang kita masuk, cubalah berakhlaq seperti yang dikehendaki.
Sebenarnya, semua ini tiada kena mengena dengan asal kita, tetapi NILAI dalam diri. Abu Nufayl orang Kelantan, orang kata rakyat Kelantan suka manis. Saya boleh pilih untuk kurangkan manis. Orang kata rakyat Kelantan suka bergaduh. Kenapa pula kita ingin memilih untuk menjadi tukang gaduh. Kecualilah kalau memudaratkan, maka gayung dilempar perigi bersambut.
Jadilah hamba Allah kepada agama yang universal dan nilai murninya yang universal. Barulah ada harapan menjadi seorang berjiwa besar.
Sebenarnya, ada beza antara tanggapan orang terhadap kita/masyarakat kita dengan cara kita menerima dan mengolah tanggapan itu. Sebab itulah, diisyaratkan oleh Allah SWT,
"Dan jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat." (An-Nisa’: 59)
Bukan disuruh kita tanyakan nenek moyang dan menerimanya bulat-bulat tanpa penyelarasan dalam nilai agama.
Kenapa saya nyatakan begini, ada orang solatnya laju macam lipas kudung. Sedangkan saya tahu tajwidnya dan bacaannya tidak begitu fasih. Bahasa tambahan yang diambil ketika sekolah pun bahasa Jerman. Jadi mana mungkin dia boleh khusyuk dengan solat yang sedemikian.
Jadi saya tanyakan, “Kenapa laju sangat.”
Jawabnya, “Eh, ustaz saya pun solat laju juga.”
Saya tanyakan kembali dalam bentuk pernyataan mudah, “oo, ustaz kamu tu sumber hukum juga ya? Sumber ke berapa ya? Apa namanya mazhab itu? “
Sebenarnya banyak lagi adat yang tidak terselaras dengan adab Islam dan sesetengahnya terang-terangan mencabar hukum Islam.
Satu kes, seorang sahabat saya, bersedih hati, saya tanyakan kenapa.
Jawabnya, “aku hampir kahwin, tapi makin hampir makin jauh.” “Kenapa?”
“Hati dah berpaut. Duit ada RM10,000.00. Kos kenduri RM4,000. Kos untuk masuk rumah sewa baru yang lebih sesuai untuk pasangan berkahwin RM 2,000 (deposit dan sebagainya). Kereta boleh pakai yang asal. “
“Masih ada baki RM 4,000? Kan? “
“Belum habis lagi, kos bertunang, barang hantarannya, RM 1,000 lebih kurang. Baki RM3000. Mas kahwin RM 38.” “Murah tu!.” kata saya.
Sambungnya, “Hati dah mendesak berkahwin, takut terjerumus maksiat. Ingin cepatkan perkahwinan. Ibunya kata boleh. Wang hantaran RM10,000.00. Standard gadis berijazah zaman minyak mahal.”
Waduh.. sudah defisit. Dan yang terakhir itulah adat kita. Yang senantiasa menghantui anak-anak muda. Akhirnya terpaksa kumpul duit lagi. Nilai wang benar makin menurun. Inflasi makin memuncak. Minyak makin mahal, mana mau dicari? Sekurang-kurangnya 2 tahun lagi. Dan dua tahun LAGI itulah sebenarnya jumlah jangkamasa hukum Islam dicabar dan diperlekehkan oleh adat manusia.
Banyak lagi celoteh Abu Nufayl. Kalau dibiarkan. Tapi ini blog, bukan buku. Jadi cukuplah celoteh hari ini. Tubuh badan isunya belum lagi disentuh. Takut tertinggal solat Jumaat. Kerana tertangguh kerja sebab menulis blog di pagi hari. Bila kerja yang kononnya satu-satunya sumber pendapatan dah bertimbun, adat manusia, kenalah habiskan kerja. Jadilah, Zohor jam 3.50 petang, Asar, jam 6.50 petang. Kerana apa? Kerana adat. Kerana? Kebiasaan. Kebiasaan adat yang mencarik syariat. Adatkah? Atau kita yang mencarik syariat?
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment