Wednesday, November 21, 2012

Hamba di Pejabat, Raja Di Rumah

Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaati Wasalaam 'al Rasuulillah

Kedua-duanya memerlukan komitmen dan iltizam. Tidak ada yang tidak penting. Ia saling melengkapi dan saling membantu dengan caranya tersendiri.

Penyusunan prioriti bermula salah apabila pengabdian diri kepada kerja menyebabkan 10 masalah dan bebanan kerja, hanya satu yang menyebabkan kita melenting marah, manakala di rumah, daripada 10 perkara yang berlaku, 9 daripadanya kita naik angin walaupun tidak besar sangat isunya.

Impaknya hanya dapat dilihat, bila pengabdian kepada kerja, tatkala kita dilanda masalah, maka tuan-tuan besar kita di pejabat akan meninggalkan kita keseorangan terkontang kanting. Letaklah apa mottonya sekalipun di mana-mana syarikat sekalipun. Wajah yang kita puja hilang entah ke mana malahan kadang kala turut mengasah pisau untuk membunuh kita.


Dan pada waktu inilah, 'hamba-hamba'di rumah kita yang mana kita sebelum ini menjadi raja, akan mendampingi kita dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan membantu. Dan wajah mereka ini yang sebelum ini jarang ditenung, kini berupaya memancarkan cahaya yang menyejukkan dan menenangkan.

Kemuncaknya tatkala kita terhenyak oleh tuan-tuan besar yang mana kita menjadi hamba di sana sebanyak 9 kali, maka yang turut sama terasa terhenyak, adalah mereka yang 9 kali kita tinggikan suara yakni lingkungan keluarga kita. Dan tatkala ahli keluarga masih lagi menitiskan air mata sayu pabila kehilangan kita, mereka di pejabat sudah pun selesai menemuduga anggota baru untuk diperhambakan di sana.


Jadilah pekerja bukan hamba di tempat kerja. Jadilah ahli keluarga, bukan raja di rumah tangga. 


Pesanan ini adalah panduan masa kini dan masa hadapan buat saya sendiri, dan tidak ada mengandungi unsur politik, baik kecaman terhadap  Demokrat mahupun Republikan....

Dan doa mengiringi tulisan ini bagi memohon bantuan Allah SWT menghentikan dan menghancurkan kezaliman dan penzalim. Baik di Ghazzah, Syria, Burma  mahupun Malaysia...


Wallahua'lam