Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaati Wassalam 'Ala Sayyidina Muhammad, Rasululullah SAW.
Assalamualaikum wbt
Tak pasti pula kali ini boleh dikatakan mengemaskinikan laman sesawang atau pun mengemas laman bersawang. Sawang pun sawanglah. Asalkan tak sawan.
Bercakap tentang sawang. Semua dapat bayangkan keadaannya. Kalau dikatakan rumah bersawang, ada canlah turun markah kebersihan jika dinilai PBT. Dan ada canlah juga dapat batang penyapu. Melihat sawang, dan mendengar perkataan sawang, pasti kita dapat kaitkan dengan tidak terjaga, terabai buat satu jangka waktu atau bukan terabai, tetapi pemalas untuk mencucinya jika sudah dilihat. Jadi ada dua keadaan di sini. Terabai, atau memang mengabaikan, berkhianat dengan janji di awal perkahwinan.
Risau juga hendak berceloteh bab sawang rumah tangga. Pasti banyak terkena batang hidung sendiri. Tetapi lebih baik beringat awal, dari rumah bersawang tumbuh semak samun.
Kisah Sawang Satu - Pengabaian
Pernah sewaktu bercinta, di peringkat awal perkahwinan, atau bila-bilalah pun, semuanya hendak dijaga. Bak menatang minyak yang penuh. Lama-lama kelamaan, bak menatang minyak PANAS yang penuh. Jika dulunya setiap permintaan itu adalah cinta. Lama kelamaan, setiap yang diminta itu merimaskan. Malah lebih dzholim, dianggap mengada-ngada. Dan tidak ingin dilayan. Lebih-lebih lagi suami kepada isteri. Uish.. bahaya ni. Ia sering berlaku kepada suami tetapi tidak terhad kepada suami sahaja. Di pihak isteri pun sama. Di awal, suami meminta itu ini dianggap rahmat. Lama kelamaan dikatakannya buang tabiat. Bab ini kena tanya petua Ummu Nufayl macamana dia maintain persepsi yang baik kepada suaminya yang suka minta itu ini. Heh heh.. Alhamdulillah. Tapi jangan tanya Abu Nufayl. Menyesal nanti.. Ups..
Kita perlu sedar, semakin lama usia perkahwinan, kebanyakkan rasa cinta boleh pudar. Syaitan yang menyuburkan kemesraan sebelum kahwin sudah lama mencari tuan baru. Yang datang kemudiannya ialah yang ingin merosakkan rumah tangga. Jadi, tidak hairanlah ia boleh berlaku dalam mana-mana rumah tangga. Dan ia tidak pelik bila berlaku. Cuma kita perlu pandai menghapuskan bisikan-bisikan rimas, leceh, malas, banyak songel, manja terlebih, buang tebiat dan sebagainya ini dengan 'memanfaatkan' sepenuhnya Iman dan Islam di dada ; yang boleh dicapai dengan amal ibadah yang konsisten dan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Solat, wajib dan sunat. Bacaan al-quran. Puasa wajib dan sunat, pembersihan harta melalui zakat, sedekah dan infaq, semuanya memperteguhkan diri dan rumah tangga sebenarnya. InsyaAllah.
Kisah Sawang Dua - Pengkhianatan
Rumah, jika dilihat ada sawang, tetapi tetap tidak dibersihkan, itu mengkhianati hak rumah namanya. Rumah tangga, jika disedari sudah 'bersawang', tetapi masih dibuat tidak peduli, khianat juga namanya. Masih ingat khutbah nikah? Tanggung jawab suami terhadap isteri, tanggung jawab isteri terhadap suami. Tanggung jawab terhadap rumah tangga, anak-anak dan segala macam lagi isi khutbah. Adakah masih kita amalkan? Apa alasan untuk tidak diamalkan?
Masih cukupkah kasih sayang kita kepada isteri? Masih cukupkah penghormatan dan ketaatan kita kepada suami? Terlaksanakah amanah memberikan ilmu fardhu ain kepada isteri dan anak-anak? Secara langsung atau tidak langsung? Adakah aurat isteri terjaga di bawah jagaan kita sang suami? Adakah maruah suami terjaga di bawah lindungan kita si isteri? Apakah rumahtangga kita hanya memanfaatkan isi rumahnya sahaja? Bagaimana pula dengan masyarakat di luar? Berdakwahkah kita? Berjuangkah kita di jalan Allah? Atau lamanya perkahwinan itu menyebabkan kita terlalai dan menjadi manusia anti sosial dan anti perjuangan?
Soalan-soalan di atas sebenarnya janji yang terkandung ketika kita mula berkahwin. Tetapi akhirnya diabaikan begitu sahaja. Inilah pengkhianatan terhadap rumah tangga. Hak-hak yang sepatutnya dipenuhi kini diabaikan.
Apa yang saya ingin bangkitkan ialah, dalam kisah sawang dua ini, soalan di atas adalah soalan muhasabah. Tetapi setelah bermuhasabah, (jika mahu), apakah pula tindakan kita? Dah tahu terabai, tetap tidak ingin diperbaiki. Manusia apakah kita ini? Suami apakah kita ini? Isteri apakah pula kita ini? Dan dengan sikap sebegini kita menginginkan zuriat yang soleh dan menjadi pemimpin ummah? Jangan terkejut jika kita dikejutkan dengan kegagalan 'pembesaran sempurna' anak-anak, fizikal mahupun mental hasil pengkhianatan kita terhadap hak rumah tangga ini.
Jika kita sedar sudah tertinggal. Cepat-cepatlah buat 'retreat'. Jika janji manis cinta syahdu sudah tawar, carilah pemanisnya dengan apa cara sekalipun. Kenangilah kebaikan dan kecintaan di awal perkahwinan. Cabaran dan nikmat yang dilalui bersama. Dan posisikan kembali rumah tangga di tempat yang betul.
Jika sedar sudah tertinggal hak pihak lain dek kerana asyik berumahtangga pula, pulihkanlah keadaan dan bertaubatlah pada Allah. InsyaAllah, tidak ada istilah terlambat dalam mendapatkan keampunan Allah SWT.
Agar rumah tangga tidak bersawang. Kembalilah merenung kembali. Sentiasa dan sentiasa....
Barulah boleh "menyemarakkan cinta suci, lillahi ta'ala. (tajuk seterusnya kah??),
Wassalahua'lam.
Wassalam.