Friday, February 27, 2009

Imbauan Rentetan Peristiwa Haji 1428H (2) - Unta, Qiswah, Jeddah, dan Kaedah di Masjid Qisas.

KISAH 4 -Berpeluang menziarah ke beberapa tempat selepas musim Haji. Antaranya ke Ladang Unta Hudaibiyah. Berasa terkejut bila unta-unta di sana seperti kenal diri ini. Mesra dan harmoni. Hehe..











Ummu Nufayl juga agak dikenali oleh unta-unta ini. Dan 'mereka' tidak keberatan bergambar dengan makhluk comel ini. Sekurang-kurang berbanding unta!

Nota ringkas, hasil lawatan ringkas ini. 4 botol susu unta dibeli oleh Abu Nufayl. DAn dua daripadanya selesai diminum begitu sahaja oleh Abu Nufayl dalam bas. Terus segar dan bersemangat (unta)


KISAH 5 - Turut berpeluang melawat kilang Qiswah (kelambu) Kaabah. Banyak seksyennya. Yang paling menarik bila mengetahui bahawa tulisan pada kelambu tersebut disulam dengan benang emas sebenar. EMAS yang dijadikan benang. Bukan benang warna emas!. Dan yang paling menarik, setelah mengecek-ngecek Pak Arab. Dapat juga seurat dua benang tersebut. Rasanya 2-3 gram juga. Emas tulin. Masih disimpan. Buat kenangan. Bukan pujaan!

Untuk makluman, kos keseluruhan untuk qiswah ini tidak begitu mahal, lebih kurang seluruh penduduk Arab Saudi menyedekahkan satu riyal setiap seorang. fuhhh.. Setahun sekali ditukar!


KISAH 6 - Lawatan 'extra' ke Jeddah juga sempat kami rasai. Dengan mertua yang masih dalam ihram, demi menambah cabaran, kami berpusing-pusing di Jeddah. Paling penting ke tempat air pancut yang dikatakan cukup masyhur di sana. Berserta tempat yang dikatakan Hawa diturunkan (Jeddah = Jaddah). Dan tidak lupa ke sebuah masjid terapung yang indah.

KISAH 7 - Untuk gambar terakhir, ia tidak se'mudah' gambarnya. Waqaf ini bukan perhentian bas. Tetapi tempat di mana sesetengah hukum hudud dan qisas dilaksanakan oleh Kerajaan Saudi. Terletak di sebelah tepi Masjid Qisas. Pada hari hukuman, pesalah akan diletakkan di sini, biasanya pada hari Jumaat. Beliau akan dikelilingi oleh orang ramai yang kemudiannya menyaksikan dan memperakui hukuman Allah telah dijalankan.

Antara dua hukumannya, jika mencuri, dipotong tangan. Tapak tangan diikat dengan tali dan diregangkan. Apabila terlepas sendi pergelangan tangan, baru sang pemotong melibaskan pedang dan tangan tadi akan tertembak dan darah menyembur, lalu terus dijahit oleh sepasukan perubatan yang standby. Tiada tulang yang retak.

Jika hukum pancung, pesalah didudukkan seperti keadaan antara dua sujud. Khutbah dibacakan bagi menyedarkan kesalahan ini kepada penduduk yang menyaksikan. Dan biasanya khutbah ini sengaja dipanjangkan sehingga pesalah tadi tertidur. Kemudian sang algojo akan mencuitkan sedikit hujung pedangnya pada leher pesalah, kemudian pesalah akan tersentak dari tidur, dan saat inilah pedang akan dilibas, memisahkan leher pesalah dalam masa KURANG SATU SAAT. Bukannya sembelih, tapi pancung.

Ini antara kisah yang diceritakan oleh orang tempatan. Tapi bukannya mudah ingin dihukum. Perbicaraan biasanya hanya akan mendapati 1 daripada 100 orang yang akan dihukum sebegini. Hakimnya bukan seperti hakim kita di Malaysia.

Bertemu di siri ketiga

Wallahua'lam.

Thursday, February 26, 2009

Imbauan Rentetan Peristiwa Haji 1428H (1) - Ma'la, Syahid dan Kasih

Pada posting pertama tajuk ini, saya ingin menyeru juga Ummu Nufayl untuk turut sama merakam dan 'menjahit' pengalaman ini untuk tatapan dan tauladan bersama.

KISAH 1 - Ziarah Maqam al-Ma'ala.

Salah satu ziarah yang menyentuh hati. Sirahnya panjang. Tetapi ringkas kawasan ini cukup mendamaikan. Ribuan maqam yang hanya bertanda batu nesan tanpa ukiran nama ada di sini. Walau raja, walau menteri. Walaupun Ummul Mu'miniin. Sekarang ini hanya penduduk tempatan yang dikebumikan di sini.

Berjalan kaki di kawasan ini pada waktu malam atau Subuh, bau yang 'jarang dikenali' akan menusuk hidung. Sebabnya, jenazah di sini, tidaklah dimasukkan ke dalam liang lahad seperti di Malaysia. Hanya ada lubang, papan menutupi jenazah dan setimbunan kecil pasir.

Apa yang unik, kawasan ini, menurut maklumat penduduk setempat, akan sentiasa menerima 'penghuni' baru di mana 'penghuni' asal akan dipindahkan atau setelah reput semuanya. Satu yang menyentuh perasaan, liang maqam bagi para huffaz, biasanya bila dibuka papan penutup, keadaan mereka masih lagi seperti sediakala, dan ada juga yang keringat membasahi dahi, walaupun selepas 10 tahun. Allahu akbar.

Cukup menginsafkan.


KISAH 2 - Suatu hari, sewaktu mengerjakan tawaf sunat di Baitillahil Haram, di pusingan ketiga rasanya, terserempak dengan seorang jemaah dari India rasanya, terlantar, mungkin tersadung, atau sesak nafas rasanya. Cuba menghampiri beliau, tetapi hujjaj terlalu ramai dan tidak terperasan. Saya tertolak jauh dan meneruskan qada pusingan tersebut akibat beralih niat. Setelah sampai kembali di tempat itu, hati kecil tersentuh, bila beliau telahpun kembali ke rahmatullah, muka telahpun ditutup dengan kain ihram. Ada jemaah yang bersimpati. Membuat lingkungan mengelilingi jenazah. Jauh di sudut hati, dua perkara saya fikirkan. Satu, alangkah singkatnya waktu hidup ini. Tidakpun sampai sepusingan tawaf. Dua, simpati memang simpati, tetapi berapa ramaikah yang mendapat penghargaan Allah, meninggal di Tanah Suci Makkah, musim haji, ketika bertawaf, dan di depan multazam? MasyaAllah, beliau manusia beruntung.


KISAH 3 - Minggu yang sama, kemuncak musim Haji, kisah sepasang suami isteri. Si isteri jatuh dan dipijak jemaah yang ramai. Sesak nafas dan meninggal. Suami yang juga telah berusia, terus merebahkan diri melindungi jasad isteri. Turut tak tertanggung asakan ribuan hujjaj yang berasak-asak di depan multazam. Kedua-duanya menemui Allah dengan disaksikan Kaabah. Allahuakbar. Cinta sejati, insyaAllah bawa ke Syurga.
Sehingga bertemu di siri 2.

Friday, February 20, 2009

Tudung DIY Updates

Jumaat lepas, 4 helai tudung daripada kain Nagoya siap dibuat. 3 daripadanya dah pakai ke ofis pun...heh! Senang betul. Beli kain, jahit sendiri dan pakai! Ni yang best buat sendiri tudung ni!

Tapi, kain jersey Nagoya ni tak dapat selabuh kain J1 la. Dia even kurang strectched daripada kain J1. Tapi keras sikit...so, ada sesetengah orang suka kain Nagoya. Kain Nagoya ni unik sebab kelembutannya ikut warna. Warna milo cair yang paling lembut...even off-whitenya keras sket daripada milo cair.

Ada orang tu kirim kain PT mintak kiter jahitkan. Sabo ek. Lom start jahit lagi kain awak.
Harap-harap minggu ni dapat langsaikan tudung tu. First time nak jahit kain jersey PT ni!

Esok ada gathering geng Tudung DIY. Me, my collaegues, Hajar & my SIL, Suzy pegi. Farrah dapat jadi student kan? Tahniah! Esok, is a shopping day plus template copying day!

My target to copy template tudung jakarta and tudung butang.

Then, nak beli awnings yang dikirim/dipesan oleh kawan-kawan yg nak menempah kat ofis ni...sambil jamu mata dengan jersey yang Yela bawa balik daripada Indon. Seram jugak dia kata tak berapa cukup utk beli banyak2. Of course ingatnya nak beli banyak-banyak...tapi takpalah. Kalau tak dapat banyak, sikit pun tak apa. Sebab Kak Ana (officemate) dah janji nak bawa kami (saya dan Hajar, officemate) ke ZH next week time lunch hour...sbb dia nak pilih jersey yang nak dipadankan dengan bajunya. Nak mintak saya jahitkan tudungnya.

Apa pun...samada esok atau next week...dapatlah saya kain yang nak tu. Hujung minggu depannya would be a heavy weekend to me!

Minggu ni...kena siapkan tudung orang yang beli kain mahal (PT) and orang yang nak kain keras tu la nampaknya. :P



---

Ok...hari ni, kita jamu mata gambar saya dan tudung DIY saya ya. Tak semuanya saya ambil gambar selepas pakai. Tapi, ni mana yang ada la ya. Tudung putih tu, yang saya pakai hari ni...saya padankan dengan abaya hitam saya.

Semuanya yang kain J1, kecuali
- J2, Shocking Pink dan
- Jersey Nagoya, Offwhite (awning Sakura putih) & Milo Cair (awning denim).



*Sorry, gambar pakai tudung awning denim tu...gambar tgh lunch. Perpisahan dgn seorang staff yang akan bersara minggu depan...so, tengah ngunyah tu. Tudung pun tgh senget..heh!

;)

Friday, February 13, 2009

Tag 5

Tag 5


1. Copy badge "2008 cute's 3logger Award" di atas untuk diletakkan di blog anda

Syukran Ayu.

2. Link / n citer kan kembali siapa yang memberi award ini kpd anda.
Yang beri award nih ialah Ayu aka Ummu Amin. Ex-MMU dan satu batch, cuma lain fakulti. Kenal melalui Jie.

3. Setiap blogger mesti menyatakan 10 fakta /hobi diri sendiri sebelum memilih penerima award seterusnya (anda di tag)(uiks...in English bleh tak?)

i. Fakta - Am a part-time Engineer and a full-time wife + mom.

ii. Fakta - I was trained to be Engineer and currently in the position. My mind is a trained Engineer mind which have 'sentuhan sastera'. Quite confusing hah? Being me is more difficult. :)

iii. Hobi - I love books, mags, articles, and any genre of writings. Means, I love reading & writing.

iv. Fakta - I love to plan rather than implement.

v. Fakta - I kind of person that like to observe, analyse and conclude. Just before time, I would do generalization. Now, no more generalization! ;)

vi. Fakta - Through Emotional Intelligence course, I confirmed myself as an allrounder person. I can be 'lion' or 'elephant' in a while. Uhuks, only iman would do prevent me from bad doings.

vii. Hobi - Besides reading & writing, I have passions on reading, cooking/baking, sewing, home-dalso photography!

viii. Fakta - Yet, I am not perfect at any! Still learning and looking forward to learn and learn.

viiii. Fakta - I am peeping through I get ideas on how to spend my time and still to get income during my future retirement (hoho!)

x. Fakta - Err business? Thats what I am not good at. Anyone join me at the time? :)

4)pilih 5 penerima award seterusnya n nyatakan di blog anda.
i. Ika
iii. Ummu Adam (you know who you are)


*Sapa dah pernah kena tag ni takyah ler buat, tatau nak letak nama sapa :D

5) Jangan lupe melawat blog kawan anda yg telah ditag dan menyatakan dia telah telah di tag.
InsyaAllah..

Tuesday, February 10, 2009

A Journey of Learning : Dari IQA ke Menjahit Blaus

Ketika kaki saya melangkah keluar dari rumah, awal pagi Sabtu 31 Jan 2009 - saya membawa bersama material untuk projek Tudung DIY dan juga mesin jahit. Juga semua tudung yang telah saya jahit sebelum ini. Sebenarnya, langkah saya itu sedikit longlai dengan sedikit kekecewaan kerana jahit tepinya menyebabkan tudung saya beralun di kepala (cantuman awning-body).

LEARNING TIPS 1 : Jahit tepi pada cantuman awning dan body tudung perlu guna jahit tepi biasa - benang nylon putih.

Alhamdulillah, di kampung suami...semua itu dapat diperbetul. Saya hantar semula untuk jahit tepi dan sebarang senget-benget disebabkan jahit tepi kedua itu, saya betulkan semula.
Hasrat saya untuk jahit tudung baru menggunakan kain Nagoya, saya tangguhkan dulu.

Selepas 2 hari di Kelantan, bermulalah Learning of Journey saya. Mengapa ya saya namakan perjalanan ini sedemikian rupa?
Tak salah rasanya, kerana dalam setiap perjalanan memang banyak hikmah yang perlu dikutip dan dipelajari.

Internal Quality Audit 1/2009 di ND Timur
2 Feb, Isnin - Opening Meeting & Audit TX/NGN Timur dan AND Terengganu @ MMC Marang 3 Feb, Selasa - Audit AND Kelantan @ TM Pengkalan Chepa
4 Feb, Rabu - Hari Perjalanan dari KB-Kuantan
*Tinggal anak di Kelantan, Ummi ke Kuantan & Abah ke Taiping & KL.
Saya tumpang Akmar dan suaminya ke Kuantan.
Singgah makan di Restoran Lempeng, Marang. Sedap juga!
5 Feb, Khamis - Audit AND Pahang @ TM Alor Akar
6 Feb, Jumaat - Closing Meeting @ Wisma Mahkota, Kuantan.
Layanan orang region Timur memang superb! :) Dapat juga jumpa beberapa sahabat yang bertugas di sana dan dah lama tak jumpa.

Hari Jumaat, selepas semua orang pulang ke KL. Saya yang masih menunggu Abu Nufayl di Kuantan diambil oleh makciknya yang datang dari Pekan. Hampir jam 12 tengahari, suami saya memberi mesej - extend bilik hotel. Checkout esok, keluarga dari Kelantan turun ke Kuantan. Tapi pada masa yang sama Makciknya (Mak Su Ani) dah sampai di Kuantan. Ups...sempat lagi saya jumpa Sida (Tengku Rosidawati, my x-roomate) dan ajaknya ke bilik sambil update tentang diri masing-masing! ;)

Jadi, antara hati yang berbelah bagi...samada menunggu suami dari KL dan anak-anak dari Kelantan tiba ke Kuantan, atau mengikut Mak Su Ani ke rumahnya di Pekan. Demi tidak menghampakan hati orang yang telah jauh datang mengambil saya di Kuantan, saya mengikutnya pulang ke Pekan.

Mak Su sebenarnya pandai menjahit...dan sejak setahun belakangan ini beliau terlibat langsung dengan GiatMARA untuk kedai jahitannya. Telekung yang dihadiahkan si dia dahulu pun, dijahit dan diposkan oleh Mak Su Ani *wink wink*. Saya menyatakan hasrat kepada Mak Su untuk belajar potong dan cantum lengan dan baju yang tiada pesak - boleh saya aplikasi untuk membuat jubah dan blaus labuh.
Hasilnya, kelas tengahmalam...memotong dan menjahit blaus labuh! Kain semuanya saya pilih di kedai Mak Su Ani saja! Betapa berharganya ilmu yang saya dapati! Alhamdulillah!
Cuma, kerana kerinduan si suami, seawal jam 7.15 pagi dia dah sampai ke Pekan untuk mengambil saya. Dan pagi itu, saya dan Maksu tak sempat menyambung pelajaran untuk mencantum...tapi setelah mendapat tips-tipsnya, Insya'Allah.

Di Kuantan, anak-anak dan keluarga mertua sudah menanti kami pulang.
Kami singgah makan tengahhari di rumah Pak Harun (adik Abah) lalu terus ke Nenasi, rumah Tok Abu Nufayl. Nufayl dan Nuha tak sabar-sabar ke pantai. Sayangnya, ombak agak deras dan menakutkan. Lagipula, air pasang.
Esoknya, selepas sarapan. Kami bawa budak-budak bermain air di pantai. Jam 12 tengah hari, bermula perjalanan pulang dari Nenasi, Pekan ke KL melalui Bukit Ibam-Muadzam-Jempol-Kuala Pilah-Nilai-KL. Permintaan Nufayl nak singgah di 'kedai besar', jadi kesempatan itu kami singgah sebentar di Midvalley. Sempatlah Ummu Nufayl membeli-belah beberapa helai kain untuk projek blaus nanti. Iyalah, tudung dah ada...kenalah ada baju yang matchingnya juga. Jimat apa buat sendiri kan? Nuha dapat 4 helai kain untuk jubah, baju kurung, blaus dan baju tidur. Saya sambar 3 helai kain remenance RM10 per meter untuk kebanyakan projek itu. Murah daripada harga sebenar! Hanya 2 helai kain yang saya beli dengan potongan 20% untuk blaus saya dan blaus Nuha.

Hari Isnin, selepas sesi mengemas rumah yang dah berhabuk kerana ditinggalkan hampir 10 hari, masak dan makan-makan. Saya menjahit blaus hingga habis. Tinggal lubang butang dan butangnya belum saya buat. ;)

Kesimpulannya, saya sangat berpuas hati dengan perjalanan kali ini.
Banyak yang saya belajar di tempat orang.
Juga, ilmu tak ternilai - cara membuat pola, memotong dan menjahit blaus. Thanks Mak Su! Thanks semua!

Wednesday, February 04, 2009

Era Tribulasi : Ulangkaji Dasar Perjuangan

Assalamualaikum warahmatullah.

Dalam ajaran Islam, khususnya bagi sesiapa yang belajar aqidah betul-betul, lebih tahu bab ini rasanya. Hanya ada dua pilihan yang Allah berikan, YA atau TIDAK. Jika bukan syurga, neraka. Jika bukan dosa, pahala. Jika bukan hidup, mati.Jika bukan haram, halal.

Contoh, makruh? ia masih halal. Harus? Ia halal. Sunat? Ia halal. Haram? barulah bukan halal! Mati? tidak hiduplah dia. Hidup? tidak matilah dia. Pengsan? Masih bukan mati lagi, jadi hiduplah dia. Itu sahaja.

Begitulah jua dengan apa-apa kejadian, walaupun kadangkala ada yang samar. Contohnya, khunsa. Lelakikah? atau perempuankah?. Sekali lagi YA atau TIDAK akan mainkan peranan. Khunsa ada bahagiannya lelaki, dan ada bahagiannya perempuan. Kita masih tidak boleh katakan khunsa itu bukan lelaki dan bukan perempuan. Kita kena pilih bahagian mana yang hendak diperincikan, dan timbullah sifat lelakinya atau perempuannya!

Apa sajalah Abu Nufayl membebel. Mari kita lihat apa pucuk pangkalnya?!

Lompat parti. Betul atau salah? Kita kena buat pilihan. PAS dan DAP, secara dasarnya, tidak bersetuju. PKR dan UMNO secara dasarnya 'ikut niat' pelompat. Saya tidak hairan dengan kesamaan antara PKR dan UMNO. Kalau dah emaknya sama. Manakan tumpah kuah kalau tidak ke nasi.

Tapi tak semua begitu. Lagikan penyamun boleh jadi wali Allah. Tapi kena hati-hati, wali Allah juga boleh mati dalam keadaan tidak beriman!

Ada juga PAS dan DAP yang setuju lompat parti. Itu pun tak boleh nak kata apa. Tarbiyah lain-lain. Ada yang pakai payung terjun masuk dalam rumah. Ada yang masuk ikut tangga. Ada yang pecah pintu, kemudian terjun ke dalam. Yang penting dasarnya begitu. Yang membantah dasar, itu bukan salah dasar itu sendiri.

Percayalah, benda yang tidak baik, jarang sekali hasilnya baik. Kadang-kadang boleh nampak munafik bila ingin tarik balik persetujuan pada benda yang tidak baik. Tetapi ramai orang buat. Maklumlah. Demokrasi. Contohnya Pak Lah dan Najib yang tersenyum bangga bila mengumumkan 'kemungkinan' dapat memegang Perak kembali hasil kes lompat yang sebelum ini dihentam habis-habisan. Tapi janganlah hairan, perumpamaannya mudah, anjing, makanannya tulang. Kalau dilihat anjing lain makan mengamuklah dia, kononnya tidak patut buat begitu. Tapi akhirnya dijilat ditokak juga tulang itu. Itu memang dasar haiwan. Jangan hairan. Saya tak kata depa tu. Saya kata kat anjing yang MP DAP kita bela itu hari. hehe..

Sekarang, mari kita lihat kebanyakan benda dari persepsi YA dan TIDAK. Kita inginkan orang melompat masuk, maka terimalah jika orang melompat keluar. Itulah fitrah dunia. Mesti ada YA dan TIDAK. Ada lompat masuk, adalah lompat keluar. Tak mau lompat melompat, jangan mulakan idea.

Perak? Perintah tidak perintah? Itu kuasa ALlah. Sultan pegang amanah rakyat. Kena fikir panjang, melainkan sudah kena racun, itu lain cerita. Sehingga waktu ini DUN Perak belum bubar. Jika bubar, Barisan kenalah sabar dahulu dengan kemaluan yang sedikit membesar kerana buat pengumuman awal. Jika tidak bubar, nah, ambillah kuasa dunia. Tiada masalah bagi yang kuat tarbiyahnya. Kuasa hanya alat, bukan matlamat.

Cuma jika terlepas, tidak boleh dianggap rahmat. Ia satu dugaan, dan kaffarah pada saya. Kerajaan Kelantan pernah berdacing-dacing juga satu ketika dahulu. Beza bilangan kerusi pada penggal berkenaan tidak lebih 5. Tapi kekal juga berkuasa sehingga habis penggal.

Itu kena pandang pada tarbiyah ADUNnya. Tak adil nak disamakan dengan kelompok di Perak. Sekali lagi, tarbiyahnya lain. Buku teksnya sewaktu kecilnya sama dengan 'bekas rakan sekolah'. Cuma ada yang benar-benar insaf, itu masih kekal dalam Pakatan.

UMNO dapat dua tiga ahli dan penyokong baru? Baguslah. Jika didapati bersalah, UMNO akan hilang kembali wakil-wakil mereka ini. Dan bertambahlah 2 ahli neraka dalam UMNO (sila rujuk sabda Rasulullah dalam hadis berkaitan rasuah)

Jika tidak salah, persepsi rakyat senang. Sudah masuk UMNO, memang tak kena hukum. Itulah sebabnya lompat. Jadi apa untungnya UMNO dalam hal ini? Busuk mereka akan makin membusuk. Dan itu juga kaffarah Allah swt terhadap mereka, cuma diberikan dalam bentuk istidraj, pada saya.

Pasti akan ada orang tegur, siapa yang betul dalam hal ini? Saya bukanlah gila, mahu salahkan semua pihak. Tetapi, sekadar ingin tarik kita kembali pada dasar perjuangan yang sebenar. Matlamat kehidupan yang sebenar. Yang hiasannya adalah politik. Dan politik bukan tunjang perjuangan kita. Ia hanyalah salah satu alat. Yang perlu didasari tarbiyyah yang diakar umbi dari huruf A hingga huruj Ya. Bukan boleh main lompat dan tebuk.


Akhir kata, lompat, dan lompat lagi!. Teruskan melompat, saya pasti Allah SWT ada sediakan lubang yang cukup luas untuk mereka ini cuba melompatinya. Kelak. Di Padang Mahsyar, namanya lubang Neraka Jahannam dan adik beradiknya. Yang menunggu mereka yang tidak melepasi Sirat al-Mustaqim.

Jadi apa yang berlaku sekarang, BETUL atau TIDAK? Satu sahaja jawapannya!

Aku pohonkan keampunan dan kesejahteraan buat Muslimin dan Muslimat seluruhnya. Yang berpegang teguh pada ajaran Allah swt.

Wallahua'lam.

Friday, January 30, 2009

Minda Separuh Sedar Berbahas...

Saya tidak tertarik menyentuh dan memperincikan beberapa isu nasional. Sekadar merehatkan otak, saya ingin petik beberapa perbualan ringkas berkaitan persepsi kita terhadap beberapa perkara.

1. Rakan sekerja saya menyatakan rasa 'terkejutnya' bila ada anggota dilihat meminum air kencing syaitan bernama arak. Sedangkan beliau Muslim.

Jawapan saya, memang kita tidak nafikan arak itu haram. Dan kita risau dengan keadaan ini. Tetapi rasanya jauh untuk saya berasa terkejut. Kenapa? Jawapannya mudah, yang tidak minum arak, kononnya, tetapi cuai dalam solat, malahan tidak solat, lebih ramai dari jumlah itu. Dan apa bezanya status dosa orang yang meninggalkan solat dan berasa 'senang' dengan perbuatannya dibandingkan dengan peminum arak? Mereka ini semuanya bencana kepada agama Islam. Dan dosanya besar bagi kedua-dua kategori.

Kata pula Ummu Nufayl, bukankah arak pintu maksiat, jadi kita kena risau la. Saya jawab, jika tidak solat, itu kunci kepada nafsu minum arak. Orang rajin solat, pastinya tidak akan minum arak. Jadi yang mana lebih teruk? Pintu maksiat, atau kunci kepada pintu maksiat itu?

Tolonglah jangan lihat dari aspek hudud, tapi saya sekarang sedang membebel tentang salah letak persepsi kita terhadap sesetengah perbuatan. Mentang-mentanglah yang haram itu babi dan arak. Jadi kita tidak terasa pun hendak membenci tingkahlaku mencuaikan solat, tinggalkan solat, puasa. Liat bayar zakat pendapatan. Tak mahu belajar Fatihah dengan betul sampai solat hancur. Itu semua kita pandang - masalah dia dengan Tuhan. Ya, memang betul, masalah itu dengan Tuhan, tetapi manusia yang ada masalah dengan Tuhan, pasti akan lebih bermasalah dengan manusia. Dari sinilah lahirnya golongan hubbud dun-ya. Wa karahiatul maut. Yang workaholic, lupakan dakwah. Heret pula kita selaku orang bawahannya untuk balik lewat, tidak sempat berjemaah. Mesyuarat sehingga ter'jama' solat Asar dan Maghrib. Belum lagi sebut rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Saya sentiasa ingat kata-kata saya sendiri, manusia, kalau sudah berani buat masalah dengan Tuhan, pasti dia lebih berani buat masalah dengan sesama manusia. Dan takut kita yang jadi mangsanya!

Panjang juga komen pendek hari ini. Sambil-sambil membelek isu terkini, saya hanya terlintas satu perkara, maklumlah, tengah malam. Apa dia?

Kalaulah seseorang itu pernah buat jenayah. Jenayahnya tetap jenayah. Jangan jadikan dia pejuang bangsa. Dan tutup semua perbuatannya. Tetapi pada masa yang sama, apa yang berlaku padanya, jika tidak kena dengan fitrah alam, itu memang tanggung jawab kita memperbetulkan keadaan. Cuma satu pesan saya, jangan biarkan minda separuh sedar menguasai terlalu banyak hujah kita. Allah Maha Adil. Allah Maha Bijaksana.

Wallahua'lam.

Projek Tudung DIY


Ni hasilnya, menjahit semasa CNY. Dapat 11 helai tudung.

Saya buat 2 jenis kemasan hujung tudung; 1 jahit kelim guna rolled hem foot dan satu lagi guna twin needle. Dua-dua pun cantik asalkan jahitannya kemas (huhu...mine to practice more!).
Ada satu lagi kain J1 warna kelabu, belum ada awningnya.
Semalam pulak, baru beli kain jersey Nagoya (daripada Jepun), 4 warna (maroon, off-white, milo, purple gelap) - 1 meter bagi setiap warna. Untuk isi masa esok kat Selising. Tangan ni rasa kosong pulak kalau tak ada kain nak menjahit. Nasib baiklah, cik Abangku sporting habis. Sanggup singgah Nagoya bila isterinya ajak.
Saja nak test jahit dan pakai kain Nagoya pulak. Kainnya lembut dan berat jugak. Tapi yang warna gelap, rasa kainnya keras sikit.
Apa pun, tak sabar nak cuba jahit kain jersey Nagoya ni. Sebab lain kain, lain cara nak handle semasa menjahitnya. Tambah lagi kain jersey. Memang kena manja-manja.
Apa pun, tudung-tudung di atas bukan semuanya saya punya...jangan risau. :)
Farrah, Aida/Aini - korang register la kelas 21 Feb ni dgn Yela. Tinggal sikit je tempat kosong tu. :)

Wednesday, January 28, 2009

WEEKEND HIGHLIGHT : 2 STORIES

CUTI 24-27 JANUARI 2009, JAHIT TUDUNG

Cuti lama hujung minggu lalu sempena Tahun Baru Cina, membolehkan saya menyiapkan projek menjahit tudung saya. Itu pun, hanya Isnin dan Selasa yang dapat diperuntukkan untuk menjahit. Alhamdulillah, 11 tudung siap. Campur 2 tudung awal yang saya buat...jumlah semua 13. Tapi bukan semuanya saya punya. Ada yang untuk dihadiahkan, ada pula untuk lelong.

Gambar? Belum lagi...baru hantar jahit tepi. Minggu depan, semasa outstation ke Pantai Timur sempena IQA...bolehlah saya melaram. ;)

Rasa kosong pula malam ni tanpa kain untuk dijahit. Nampaknya ada azam baru sebelum bertolak ke Kelantan, Jumaat ini. Saya kena beli kain lagi...penuhkan masa lapang. hehe. Bukan apa, practice makes perfect orang White Sand kata. :P

CUTI HUJUNG MINGGU : 10 JANUARI 2009, LIQA' & ZIARAH AJIKIK

Hari yang sangat menyegarkan. Ada Liqa' Usrah di lokasi pilihan, rumah Jie & Nuar di Kajang Perdana. Hari yang ditunggu Nufayl juga, bertemu dengan sahabat baiknya Fahim. Abu Nufayl dibuli beri tazkirah oleh incik mudin. Alhamdulillah, tak sia-sia Ummu Nufayl merungut-rungut...inputnya segar dan mengesankan (ataupun, nak bagitau yang Ummu Nufayl suka sangat dengan topik sirah dan pengajaran serta kaitannya dengan masa kini...heheh).


Usai tazkirah dan sesi makan-makan termasuk menyantap kek hari lahir Ziyad yang seminggu daripada tarikh tersebut...kami solat Zohor berjemaah. Kemudian, mulalah sesi Ziyad merampas Ummu Nufayl daripada Nuha. Terus tak nak berrenggang lagi dengan Ummu Nufayl. Nuha boleh tahan jelesnya juga. Si Ziyad siap nak ikut kami pulang. Comel sangat!

Dari Kajang Perdana, kami ke Universiti Notthingham...tak jauh, hanya beberapa kilometer daripada rumah Jie. Ziarah sepupu Ummu Nufayl, Fatin Amirah di sana. Lepak-lepak dalam bilik Mira (single room, Apartment Kapas) sambil menghabiskan stok makanannya. Dia dalam mood study sebab sedang dalam minggu peperiksaan. Saja kacau dia yang khusyuk dengan Engine Maths!

Kemudian, ziarah En. Hamid dan isteri yang baru mendapat cahayamata ke-empat. 4.5 kg & normal! Anaknya yang baru 10 hari...memang nampak besar betul! Lama juga di sana. Sambung pula ke gerai Char Koewtiaw yang sedap.

Tak jauh daripada gerai itu, kami ke Taman Mesra...hajatnya nak ziarah Pakcik Ismail Ahmad dan Makcik Khadijah yang sama-sama menunaikan haji 1428h. Tapi, masa beranjak ke Maghrib semasa kami dalam proses mencari rumah. Solat jemaah di Surau taman tersebut. Akhirnya, dengan bantuan En. Johari, penduduk yang terpilih untuk membantu kami (tanya soalan waktu dia menyiram pokok bunga)...kami dapat nombor lot rumahnya dan sesi ziarah bermula.



Pakcik Ismail sebenarnya adalah seorang penulis. Dulu, dia bekerja dengan DBP. Dia salah seorang pengasas Dewan Siswa(atau HSSBR?). Dia tak lain dan tak bukan ialah AJIKIK. Saya mengetahuinya semasa sembang-sembang dengannya sewaktu minum kopi di tingkat mezanine. Teruja sungguh saja apabila tahu dia adalah AJIKIK. Ceritanya nama AJIKIK diperoleh daripada pangkal namanya dan kawan-kawan satu biliknya yang rapat. Saya juga berkongsi dengannya tentang pengalaman saya, pernah 2 kali memenangi HSSBR. Dia sangat teruja dan kami banyak berkongsi cerita. Mama? Yang juga minat sastera, terus memperkenalkan Pakcik AJIKIK kepada kawan-kawan jemaah yang lain. Tapi...siapalah yang kenal orang sastera kan? Lagikan Sasterawan Negara ada yang tak kenal.

Kami ditaqdirkan rapat dengannya dalam perjalanan haji kami. Mereka adalah contoh pasangan romantik dan sangat seadanya semasa di sana. Bayangkan, semasa sa'ie...selangkah pun dia tidak meninggalkan isterinya yang berjalan sambil memegang/'bergayut' bahunya. Hikmahnya jelas terasa pada saya dan suami. Ingin benar mencontohi.

Apa pun, ziarah ke rumahnya juga memberi pengajaran...bahawa kenapa bersilaturrahim itu sangat dianjurkan. Pakcik AJIKIK yang sangat tajam dan kuat ingatannya membuatkan kami terpana kerana kami yang muda ini, kadang-kadang kurang mengambil tahu/ mengingati tentang sahabat lain. Sesuatu untuk diteladanikan?

Hari Sabtu, 10 Januari cukup indah...kerana senyuman yang diterima atas ziarah kami sangat mengesankan. Menyentuh jiwa.

Apa lagi yang perlu saya tulis. Tak terungkap. Hanya jiwa bisa merasa.
Cukuplah catatan untuk hari ini.
Saya memilih untuk meneladani.

Anda? Apa pilihan anda?

:)

Friday, January 23, 2009

Laba Nyawa dari Gaza

Menyabung-nyabung kurung dan ladung,
Ritau jiwa dan airmata, saudara kami penuh mehnah.

Menyabung-nyabung kurung dan ladung,
Yang kau perbuat,
Daripada tanah dan darah.
Daripada dosa dan nanah.
Dipipis pasir, noda dan kering payah.

Rintih!
Ibu-ibu dalam payah, dalam sengsara,
Mengendong rasa dan cita,
Antara diri atau wasi,
Bisa-bisa jerih anak-anak rintih,
Bukan lagi sisa, malah dosa yang hidup sentiasa.

Bukan lagi ketuanan bangsa pokoknya,
Kerana juang itu membawa nama agama,
Demi al-Quds dan jiwa,
Demi Ahad, Ahad, Ahad...Allah cuma!

"Aduh!"
Mampukah mereka menjerit lagi,
Dalam teriak "Allahu Akbar!!!",
Rencong tanah serong itu,
Digigit dengan nanah dan darah,
Diratah dengan rogol dan rasuk.

Busuk sungguh laba yang kau tagih,
Hingga Gaza jadi neraka,
Rafah jadi pintunya,
Adalah dosamu segala!
Gagau-gagau tanganmu yang berahi nyawa,
Ketawa romamu, bingit telinga dunia!

Di sinikah,
Antara dua sungai itu?
Tanah yang dijanjikan Allah,
Hidup dengan payah, berjuang penuh mehnah?

Demi tanah yang disucikanNYA. Demi DIA.

Menyabung-nyabung kurung dan ladung.
Kita? Demi apa lagi, masih berdiam diri?
Dan mereka yang berdusta,
menagih laba daripada yang masih...
bernyawa!


~~~
Hany FF
22 Jan 2009m, 25 Muharram 1430h