Wednesday, January 16, 2013

LISTEN! LISTEN! LISTEN!.. LET ME SPEAK!



‘Virus’ terbaru yang menular telahpun menjadi fenomena pantas di Malaysia, malah mungkin telah tembus ke beberapa negara luar seperti Brunei, Thailand, Indonesia dan Singapura
.
Walaupun tidak menjangka akan berterusan lama, masih boleh dikatakan, ini merupakan pencapaian yang hebat apabila dua wanita yang pertamanya tiada jawatan prima dalam politik, tidak pun dikenali masyarakat besar sebelum ini, dan tidak juga siapa yang mengaku mengenali beliau sehingga kini, berjaya mencetus fenomena ini dalam tempoh sekelip mata. Manakala wanita yang kedua menepati ciri-ciri yang pertama, cuma bezanya nasib beliau berubah menjadi pujaan masyarakat apabila semua mula menyanjungnya dan ingin mengaku mengenali beliau. Dan saya terpaksa mengakui mengenali beliau sebagai seorang yang aktif dengan aktiviti kepimpinan kemahasiswaan, cuma beliau tidak mengenali saya
.
Impak peristiwa yang berlaku melampaui senario politik semasa secara santai dan tajam. Tanpa perlu membuka siaran lawak jenaka, ia masih mampu menyejukkan sebentar kepanasan kepala menghadap politikus menjawab sana-sini bagi menjustifikasikan kebenaran perjuangan masing-masing. Dan kesannya ini jelas merentas segala elemen kemasyarakatan yang wujud, pastinya kerana ia melibatkan tunjang sosial negara dan budaya timur rantau ini. 

Pertembungan ini boleh sahaja dilihat pertembungan bangsa, boleh juga dilihat pertembungan ideologi politik, atau pertembungan orang tua orang muda, atau pertembungan golongan terpelajar dengan golongan kurang ajar, atau juga pertembungan tata susila adat dan agama. Ia boleh diulas dari apa jua perspektif, menjadikannya unik dan hangat, dan pastinya segar, lantas menarik minat bukan sahaja golongan intelek, malahan agamawan, politikus, atas pagar, artis, pakcik sawah mahupun nelayan di laut dan mungkin haiwan yang melata jika mereka bijak membaca (memetik rujukan Sang Moderator)
Semuanya bermula apabila manusia bereaksi kepada aksi pembodohan. Sudah ditakdirkan manusia punyai akal, sentiasa berakal, cuma kadangkala terlupa untuk digunakan dengan tepat. Ia merupakan satu elemen gila kuasa tetapi berlaku pada skala kecil. Gila kuasa apabila ada mikrofon di tangan sehinggakan merampas hak berbicara seorang yang lain. Gila kuasa apabila tersilap meletakkan peranan diri sebagai diktator walaupun asalnya cuma seorang moderator. Gila kuasa sebagai seorang intelek, walaupun bezanya O’level dan Ijazah itu cuma kurang lebih 4 – 5 tahun perjalanan jam sahaja dan tidak memerlukan roket untuk sampai. Dan gila kuasa untuk menonjolkan diri berilmu dengan meremehkan perbandingan insan lain yang penuh dengan statistik dan fakta walaupun diri sendiri hanya mampu membacakan kembali kamus haiwan yang boleh sahaja turut disebut oleh kanak-kanak di kelas peralihan.

Gila kuasa ini bergabung dengan emosi tahap rendah dengan mentahnya strategi politik menzahirkan watak fizikal yang dilihat sebagai al-kibr. Membesarkan diri dan meremehkan orang lain.Sifat mazhmummah ini ada dalam kebanyakkan diri manusia. Cuma ia kadangkala terselindung dan kadangkala terzahir tanpa sedar. Kali ini kepada Sang Moderator tersebut ia terzahir kerana beliau bukanlah ahli agama yang warak untuk berkelakuan seperti malaikat, dan beliau juga bukanlah politikus licik yang bijak berhipokrisi. Beliau hanya seorang manusia yang belum cukup pra syarat untuk berdepan khalayak dengan tenang dan sopan.

Setelah menghadam semua yang di atas, kerana apakah perisitiwa meletus laharnya? Bukankah ia sentiasa berlaku di pelbagai peringkat? Tidak salah untuk kita katakan apabila minyak sendiri-sendiri atau api sendiri- sendiri tidak akan memudaratkan. Bila ada bahan yang akan terbakar barulah ia membakar dan menghancurkan.

Sang moderator harus ingat, beliau berdepan dengan beberapa elemen besar masyarakat ketika memegang mikrofon tersebut. Pertama, melibatkan seorang individu bergelar MAHASISWA yang sedang bergerak ke zon bijak dan tidak boleh diperbodohkan, kedua, ALAM MAYA yang tidak boleh ditutup walau dengan bangkai gajah sekalipun, ketiga MASYARAKAT KRITIS yang apabila diikat mata mulut bercakap, disumbat mulut tangan menaip, diikat tangan jiran membantu dan keempat beliau telah terlajak menzahirkan TUTUR BICARA KHALAYAK dengan kalimah dan intonasi yang tidak dapat diterima baik di benua timur, barat, utara mahupun selatan.

Elemen-elemen ini adalah antara titik sensitif yang wujud dan perlu dijaga oleh sesiapa sahaja yang ingin meneruskan kehidupan dengan tenang dalam masyarakat majmuk berbilang bangsa, agama dan daya intelek ini. Baik anda ahli politik, ulama, pelajar, pensyarah, doktor perubatan atau apa sahaja gelaran.

Kepada pelajar yang pada pandangan masyarakat telah dimangsai, percayalah, ia tidak seteruk mana. Anda bukan mangsa, tetapi penerima anugerah. Tidak mudah untuk berdepan dengan rasa aib begitu, tetapi ia hanya berlangsung kurang lebih suku jam. Selebihnya ia adalah anugerah proses pembelajaran yang amat berguna kepada anda dalam berdepan dengan masyarakat sebenar. Ramai lagi yang sebegitu sifatnya dan jika anda tidak berada pada platform pada hari itu, anda tidak akan mengenal manusia dengan lebih baik. Maka berterima kasihlah kepada guru segera yang datang dari jauh menceruk masuk ke universiti anda untuk memberikan pendidikan percuma dan segera ini. Syabas! Dan ingatlah, janganlah menjadikannya sebagai satu wadah untuk meraih populariti segera yang tersilap langkah mencambah ego dalam diri pada fasa kehidupan yang akan datang.

Kepada rakan-rakan pelajar tadi, ramai yang mengecam dan mencemuh. Namun harus difahami, proses indoktrinasi menggunakan peluru tabur, yang dilambakkan kepada umat muda yang belum pernah mengenal erti susah dan payah sebenar kehidupan. Dan tidak pernah diterjah dengan keganasan moderator seperti Sang Moderator tadi, sangat sukar untuk ditentang oleh minda lemah.

Mahasiswa yang berada di dalam dewan sana terbahagi kepada pertama, KELOMPOK LEMAH MINDA LEMBIK JIWA yang akan mengiakan mencacai apa sahaja dengan penuh rela asalkan tidak terusik periuk nasik dan matlamat mereka. Kepada golongan ini, dinasihatkan untuk mengambil kursus asas masakan dan penyediaan makanan. Agar tepat dikenali sebagai mahasiswa makanan, atau mahasiswa periuk nasi. Kedua kelompok yang TIDAK LEMAH MINDA TETAPI TEKUN MENCERNA SUASANA. Memikirkan kemaslahatan jangka panjang, membina kewibawaan dalam diam lantas akan berupaya menzahirkan kekuatan kemahasiswaan dalam proses jangka panjang berbanding jika terus membantah lantas akan dihantar ke universiti lain atau ke negara lain (memetik idea Sang Moderator). Ketiga adalah kelompok yang TIDAK AMBIL KISAH baik periuk nasi atau kewibawaan kemahasiswaan. Mereka ini datang untuk membeli, merebus dan menggoreng segala apa yang berkaitan akademik, lantas ditelan semahunya biarpun dunia kiamat dan bulan bintang terhempas di depan mata. Kelompok keempat yang nampaknya tidak muncul pada hari tersebut, melainkan mangsa, adalah yang KUAT MINDA, KENTAL TEKADNYA. Mewujudkan lebih ramai kelompok keempat ini, yang merupakan mercu tanda sebenar dunia mahasiswa yang berakar umbi berpuluh tahun yang lepas, mungkin memerlukan pengislahan sistem pendidikan burung belatuk dicengkam singa, mengangguk sambil menangis, untuk dipindah kepada sistem yang lebih memuliakan daya intelek mahasiswa sejak dari awal.

Akhir bicara, menelah isu ini dari banyak perspektif, memberikan kita pengajaran cukup bermakna agar pertama, diri kita sendiri tidak melakukan yang sedemikian terhadap orang lain bagi memastikan kemuliaan diri kita sebagai khalifah Allah terpelihara. Kedua, sama-sama kita menarik nafas yang dalam, betapa di luar dunia kita, wujud manusia seperti Sang Moderator, baik sedar atau tidak sedar, mencium harumnya bau ideologi yang diyakini betul, sehingga dengan semberono melupakan bahawa, yang dikata betul boleh jadi salah dengan kesilapan strategi kita menzahirkan sokongan, dan pada masa yang sama terlupa, bahawa bukan kita dan pujaan kita seorang sahaja yang ada akal dan otak di dunia ini.

Namun jauh dari itu, kita harus sedar bahawa mana-mana daripada mereka masih lagi berada di bawah lingkungan dakwah kita. Dalam rasa amarah saya kepada Sang Moderator, saya masih lagi tersentuh dengan salah satu ucapan beliau, lebih kurangnya bermaksud, walaupun beliau belum lagi cukup lengkap sepenuhnya sebagai seorang Muslim tetapi insyaAllah pada masa mendatang beliau akan menjadi muslim yang baik. Dan menutup artikel ini, saya ingin tekankan, jika kita mengaku menjadi dai’e, wahai para du’at, jangan tinggalkan ruang dalam hati untuk tidak berasa cakna dengan kata-kata tersebut.

Firman Allah SWT bermaksud

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang shalih dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?

Fussilat : 33

Wednesday, November 21, 2012

Hamba di Pejabat, Raja Di Rumah

Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaati Wasalaam 'al Rasuulillah

Kedua-duanya memerlukan komitmen dan iltizam. Tidak ada yang tidak penting. Ia saling melengkapi dan saling membantu dengan caranya tersendiri.

Penyusunan prioriti bermula salah apabila pengabdian diri kepada kerja menyebabkan 10 masalah dan bebanan kerja, hanya satu yang menyebabkan kita melenting marah, manakala di rumah, daripada 10 perkara yang berlaku, 9 daripadanya kita naik angin walaupun tidak besar sangat isunya.

Impaknya hanya dapat dilihat, bila pengabdian kepada kerja, tatkala kita dilanda masalah, maka tuan-tuan besar kita di pejabat akan meninggalkan kita keseorangan terkontang kanting. Letaklah apa mottonya sekalipun di mana-mana syarikat sekalipun. Wajah yang kita puja hilang entah ke mana malahan kadang kala turut mengasah pisau untuk membunuh kita.


Dan pada waktu inilah, 'hamba-hamba'di rumah kita yang mana kita sebelum ini menjadi raja, akan mendampingi kita dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan membantu. Dan wajah mereka ini yang sebelum ini jarang ditenung, kini berupaya memancarkan cahaya yang menyejukkan dan menenangkan.

Kemuncaknya tatkala kita terhenyak oleh tuan-tuan besar yang mana kita menjadi hamba di sana sebanyak 9 kali, maka yang turut sama terasa terhenyak, adalah mereka yang 9 kali kita tinggikan suara yakni lingkungan keluarga kita. Dan tatkala ahli keluarga masih lagi menitiskan air mata sayu pabila kehilangan kita, mereka di pejabat sudah pun selesai menemuduga anggota baru untuk diperhambakan di sana.


Jadilah pekerja bukan hamba di tempat kerja. Jadilah ahli keluarga, bukan raja di rumah tangga. 


Pesanan ini adalah panduan masa kini dan masa hadapan buat saya sendiri, dan tidak ada mengandungi unsur politik, baik kecaman terhadap  Demokrat mahupun Republikan....

Dan doa mengiringi tulisan ini bagi memohon bantuan Allah SWT menghentikan dan menghancurkan kezaliman dan penzalim. Baik di Ghazzah, Syria, Burma  mahupun Malaysia...


Wallahua'lam

Monday, July 02, 2012

Mengasah Pena





Mengasah pena. Kembali ke laman maya.
Kiranya. Cukuplah masa yang ditinggalkan.
Kerana gegar di alam maya, mengundang tidak selesa yang nyata.
Tanpa perhatian, rasanya lebih aman.
Cukuplah kenalan.

Di sini,
Seringnya ada hati yang mengungkapkan,
Ada abah juga ummi yang menceritakan,
Ada suami juga isteri yang berkongsikan,
Ada rakyat yang punya fikiran,
Ada hamba Allah dengan ceritanya yang terkesan.

Rasa jiwa, dan zikir fikir.
Memori keluarga untuk kenangan.
Kisah teladan dan pengajaran.
Prinsip agama meliputi siyasah yang dipertahan.
Jiwa hamba yang rindu Tuhan.



HanyFF
2 Julai 2012
11.25am

Thursday, February 16, 2012

Tuailah Manisnya Hari Ini....

Bismillahi Walhamdulillah Wassolaati Wassalaamu 'ala Rasuulillah.

Meramal kepastian apa yang bakal berlaku pada hari esok adalah salah satu daripada perkara mustahil yang boleh kita lakukan. Jangankan hari, jam, minit, saat seterusnya juga tidak dapat diramalkan oleh kita. Malah huruf seterusnya yang mungkin timbul setiap kali kita menaip papan kekunci pun tak dapat kita pastikan apa yang bakal keluar. Tersilap tekan, R jadi T, S jadi D dan begitulah seterusnya. Hanya Allah Maha Penentu dan Penunai Taqdir.

Setiap kali menuruni tangga kita pasti berhati-hati dengan langkah kita agar tidak tergelincir. Setiap kali kita melahirkan perasaan kita sejauh mana kita berfikir untuk memastikan orang lain tidak terpukul dengan perbuatan kita itu?

Saya selalu beringat hatta tatkala terlalu marah sekalipun, perlu dibuat pertimbangan, adakah marah itu mendidik ataupun hanya nafsu marah. Marahkan anak kecil, adakah kerana salahnya atau kerana sayangnya kita agar dia tidak mengulanginya ketika besar? Marahkan pasangan, adakah kemarahan itu boleh mengundang senyuman kita jika beliau meninggalkan kita esok hari?

Kadangkala kita lupa, respon yang kita berikan lebih banyak merosakkan diri kita dan orang yang kita sayangi di kemudian hari. Baik dari segi emosi mahupun mental.

Saya pernah bertemu balu yang tidak ingin berkahwin lagi selama berbelas tahun kerana tidak sanggup 'mengkhianati' kasih arwah suaminya. Dan duda yang tidak ingin mencari isteri baru hanya kerana tidak tega teringkatkan wajah isteri yang telah bertahun meninggalkannya. Semua ini adalah hasil semaian yang baik, walaupun kelihatan melampau pada sesetengah pihak.

Bukanlah tidak kahwin atau kahwin lagi yang menjadi isunya. Kahwin baru itu tiada salahnya, malah ia adalah sunnah,  tetapi sebab tidak mahu berkahwin  itu yang menjadikannya klasik dan sentimental nilainya.

Namun jangan lupa  ada juga kita bertemu pasangan yang telah pun berdoa  berharap agar dijodohkan suami atau isteri lain di akhirat kelak dan bukannya suami atau isterinya di dunia. Ini juga salah satu contoh ekstrem kegagalan penyemaian benih kasih sayang dalam ikatan kekeluargaan.

Bukanlah saya ingin mencoret terlalu panjang, tetapi renung-renungkanlah, saban hari, ada anak melambai kepulangan bapa, kurang 3 minit kepalanya pecah dipijak kereta bapanya sendiri yang mengundur tanpa disengajakan. Seorang isteri yang mencium dahi suaminya pada jam 7.30 pagi di pintu rumah, dan jam 4 petang mencium dahi JENAZAH suaminya itu yang kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja. Kita juga ketemu kisah suami mencium pipi isteri di pintu pejabat pada paginya, dan pada malamnya hanya tersandar di dinding melihat jenazah isteri yang mati mengejut akibat serangan jantung.

Semalam yang indah tidak semestinya menjamin kenangan yang manis pada keesokan harinya. Apatah lagi jika hari sebelumnya adalah hari yang teruk, dahsyat, penuh dengan kebencian, pergaduhan, amarah dan sindiran ; Adakah kita mampu menanggung sesalan, jika yang tersayang tidak kembali lagi untuk kita belainya seperti biasa?

Semailah benih kemanisan setiap hari, agar rasanya kekal berbekas manisnya itu walau dalam kepahitan taqdir.

Wallahu a'lam.

Wednesday, February 08, 2012

Redhai Pemberian, Jauhi Ketagihan

Kita pasti pernah menjadi penagih. Dan mungkin pernah menjadi pengedar. Cuma skalanya sahaja yang berbeza iaitu yang mana lebih dominan.

Dalam kebanyakan peristiwa, pengedar yang tidak menagih dadah yang diedar biasanya akan menjadi kaya raya. Manakala pengedar yang menagih dadah yang diedarnya akan juga menjadi kaya, tetapi hidupnya kurang menentu. Dan yang pasti, si penagih yang hanya menagihlah yang paling miskin dan paling hancur hidup mereka di antara ketiga-tiga golongan ini.

Mungkin apa yang tercatat di atas terlalu keras untuk perbandingan. Namun itulah realiti yang paling senang kita cam dalam kehidupan kita. Apa yang ingin diketengahkan kali ini bukanlah isu dadah, tetapi pengedar dan penagih emosi , jiwa dan perasaan.  

Sebagai seorang pemandu, pernahkah kita memberikan laluan kepada pemandu lain yang memotong barisan, atau yang ingin membelok ke simpang, lalu kita berasa marah dan kecewa apabila mereka tidak langsung melemparkan senyum, apatah lagi mengangkat tangan tanda terima kasih?

Jika bukan sebagai pemandu, pernahkan kita sebagai jiran atau rakan, menyedekahkan makanan kepada mereka, kemudian kita terasa sedikit kecil hati apabila tiada ucapan terima kasih, apatah lagi balasan makanan itu? 

Dan contoh ketiga, pernahkah kita terasa marah, atau tersentuh hati apabila anak-anak seolah-olah tidak menghargai pemberian kita, ataupun pengorbanan masa dan wang kita membawa mereka bersiar-siar, namun dalam perjalanan pulang mereka mula merungut tidak cukup itu dan tidak cukup ini. Jangankan berterima kasih, merungut lagi. Sedikit kecewa bukan?

Jika kita pernah terasa hati, terkecil hati, jauh hati, kecewa, marah atau apapun juga dalam diri kita, percayalah, jauh di sudut hati kita, kita berada dalam golongan pengedar yang turut menagih bahan yang diedarkan. Dengan lebih tepat, kita sentiasa meletakkan harapan perbuatan kita dibalas dengan nyata dan jelas, dan mengetepikan secara tidak sedar bahawa Allah sebenarnya telah memberikan kita suatu kedudukan tertentu dengan pengorbanan yang kita telah lakukan. 

Kita memberikan jalan kepada pemandu lain, tanpa mengharapkan mereka berterima kasih, maka pahala memberi akan kita perolehi ditambah dengan TIDAK ADA rasa kecewa apabila tidak dihargai.
Kita memberikan makanan kepada jiran dan rakan, pahala memberi akan diberikan Allah, ditambah dengan TIDAK ADA rasa kecewa apabil tidak dibalas dengan ucapan terima kasih.

Kita mengorbankan masa dan wang untuk anak-anak, insyaAllah ganjarannya ada pada mata Allah SWT, TANPA RASA KECEWA apabila mereka kembali merungut. Itulah anak-anak. Mereka tetap anak-anak yang tidak memandang jauh. Tetapi adakah kita perlu turut menjeruk rasa dengan keletah ini? 

Dengan mengharapkan balasan, kita sebenarnya menambahkan bebanan kepada perasan dan emosi kita. Kita memberikan peluang kepada rasa kecewa dan marah. Akhirnya, kerana kita sendiri, hati akan binasa, silaturrahim tidak akan erat dan mantap, dan kasih sayang sentiasa berakhir dengan ungkitan dan kekecewaan. Alangkah ruginya sejenak hidup kita ini jika hanya memikirkan apa sepatutnya kita perolehi kembali.

Namun, secebis nasihat buat pihak yang menerima, berterima kasihlah kerana itu tanggung jawab kita selaku manusia, muslim dan makhluq berakhlaq dan beraqal untuk memuliakan pengorbanan dan perjuangan orang lain, baik keluarga, jiran, rakan mahupun rakan sekerja.

Cuma apa yang pasti kita yang menjadi ‘pengedar’ ini, teruslah mengedarkan segala kemampuan kita tanpa perlu menagih balasannya daripada si penerima. Anggaplah tugas kita selesai sebaik sahaja kita melaksanakan tanggung jawab kita. Pohonlah pada Allah untuk membalasnya dengan syurgaNya. 

Nikmatilah lazatnya memberi.Usah memandang terlalu jauh ke depan, dan usah pula membayang kemanisan yang lampau. 

Percayalah, mengharapkan terlalu banyak dari sesama makhluq, hanya akan mengundang kekecewaan, keresahan, kesedihan, kemarahan dan lebih teruk, kelak jika tidak dikawal, akan merimaskan si penerima, dan mungkin suatu masa, akan turut meretakkan ukhuwwah yang terbina.

Teruskan mengedar, hentikan menagih. Sedikit mengharap, banyakkan berdoa. Sekadar pesan buat diri, keluarga dan sahabat.

Wallahualam.

Tuesday, January 31, 2012

Cukupkah Deposit dalam Rumah Tangga Kita?


Sebagai suami kita mungkin tertanya-tanya kenapa isteri kita tidak lut walau dimarah macam mana sekalipun. Paling tidak mereka menangis, dan kemudian mengulang balik apa yang tidak kita sukai. Begitu juga si isteri, kerap merungut apabila suami tidak ‘lekat nasihat’. Mungkin ingat sehari dua, tetapi kemudian mengulang tabiatnya yang pernah kita sebagai isteri larang berkali-kali.Dan hanya senyum bila dileteri buat kali ke 978.

Dalam bahasa saintifik, ia dipanggil ‘immune’. Dalam bahasa mudah, ia dikenali sebagai mangli. Ia agak merimaskan, tetapi kenapa dalam rimas itu kasih sayang tetap berkekalan? Malahan apabila diusik, diagah, pasangan yang sedang geram kembali senyum dan tergelak? Inilah besarnya peranan DEPOSIT EMOSI dalam rumah tangga.

Sahabat sekalian, jangan sesekali memandang remeh terhadap deposit emosi ini. Bunyi sangat mudah, tetapi memerlukan keazaman dan usaha yang tidak pernah kenal lelah untuk memastikan keberkesanannya. Seperti sebuah bank, diri manusia sentiasa menerima deposit dan juga membuat pengeluaran simpanan tersebut dari semasa ke semasa. 

Setiap kali perilaku kita bersifat positif dan melapangkan hati pasangan kita, ia akan menambah ‘baki akaun’ emosi ini di dalam diri pasangan kita. Bertambah banyak simpanannya, bertambah disayangilah kita. Dan setiap kali perilaku kita bercorak negatif walaupun pada kita merasakan ianya positif, ia akan mengurangkan baki akaun tersebut tanpa disedari, dikenali sebagai pelaburan negatif. Ingat, yang penting bukan apa yang kita rasa, tetapi apa yang pasangan itu tafsirkan bakal menjadi penentu nilai simpanan ini. 

Yang tersebut di atas adalah separa teori. Bagaimana dengan praktisnya? Apa yang bakal menambahkan simpanan kita?  Pengalaman saya ia dikategorikan (secara relatif) seperti berikut :

  1. Ketaatan nilainya = + 1. Ia adalah kebiasaan.
  2. Melakukan perkara yang disukai beliau atau Mengelakkan melakukan perkara yang tidak disukai = +2
  3. Mengelakkan melakukan perkara yang tidak disukai yang telah dinyatakan beliau bahawa perkara itu tidak disukai = +3. Kenapa lebih banyak? Kerana ia adalah 1 + 2
  4. Membahagiakan dan meraikannya di hadapan rakan dan tetamu = +4
  5. Meraikannya di hadapan keluarga = +3. Kenapa kurang dari empat? Ini perlu dilihat dari aspek ‘self esteem’ beliau di hadapan keluarga biasanya sudah terbina dari awal, berbanding self esteem beliau di hadapan rakan dan tetamu asing.
  6. Memberikan beliau perkara yang disukai  dari pemerhatian kita (elemen kejutan)= +5
  7.  Memberikan beliau perkara yang disukai yang beliau nyatakan keinginannya = +7. Kenapa lebih? Ia kerana ia berbentuk ketaatan + meraikan + memberikan kesukaannya.
Dan banyak lagi berdasarkan pengalaman hidup masing-masinglah.

Bagaimana pengeluaran simpanan boleh terjadi?
  1. Tidur ketika pasangan meluahkan perasaan = -0.5
  2. Acuh tidak acuh, kurang inisiatif = -2
  3. Kurang inisiatif, lupa walaupun sudah diberitahu berkali-kali tanpa ada usaha merekodkan dengan baik apa yang dinyatakan = -3
  4. Menyatakan matlamat melakukan sesuatu perkara yang tidak benar-benar merupakan matlamat perkara itu dilakukan dan ia disedari oleh pasangan = -3
  5. Memalukan beliau di hadapan pihak ketiga = -4
  6. Menerjah masuk ke ruang peribadi dan dominasi tanpa meminta izin = -4
  7. Melibatkan pandangan dan campurtangan pihak ketiga dalam urusan membuat keputusan berkaitan rumahtanggan dan anak-anak = -6
  8. Curang dan menipu yang akhirnya diketahui = Infiniti – Total Loss
 Dan banyak lagi. Ia sebagai contoh. Dan nilai itu juga sebenarnya relatif. Sekadar imaginasi saya.Tuan puan semaklah apa sebenarnya yang boleh dijadikan nilai tambah dan nilai tolak dalam rumah tangga masing-masing. Lokaliti berbeza, pendekatan juga lain.

Apa yang ingin ditekankan sebenarnya adalah, sentiasalah menambah simpanan akaun emosi ini dalam diri pasangan masing-masing ketika ada ruang. Walaupun ia kadangkala me’luka’kan dan menjerut hati dan perasaan sendiri.Simpanan yang banyak menghasilkan DIVIDEN yang mengujakan. Dan iya, mungkin dividen itu adalah hadiah hari jadi yang tidak disangka-sangka, pakej bulan madu kali kesembilan, mahupun galaksi bima sakti diletakkan di atas riba kita oleh sang pasangan (lukisan mungkin)... :)

Juga, kita tidak tahu bila kita akan benar-benar memerlukan ‘simpanan’ ini. Malah jangan terkejut, jika perceraian boleh berlaku apabila tahap simpanan berada pada nilai kritikal. Ketika itu perkara buruk sahajalah yang akan timbul. Tiada lagi kebaikan. Semuanya diungkit dan dicemuh. Perkara ini sering kita lihat dalam kes-kes pergaduhan serius rumah tangga.

Dan percayalah, jika simpanan mencukupi, walau bagaimana hangat sekalipun sesuatu krisis yang berlaku dalam rumah tangga, ia tidak akan mencecah ke tahap pukul memukul atau lebih dahsyat lagi perceraian. Kerana apa? Jawapannya, setiap kali pasangan ingin terlanjur menyakiti atau meninggalkan pasangannya, ikatan emosi, nostalgia akan membantu meredakan amarah dan hasutan syaitan.

Melaburlah dari awal dan tanpa rasa jemu. Agar kita ada ‘cagaran’ yang benar-benar utuh jika ditaqdirkan suatu hari nanti krisis besar menjelma dalam rumah tangga kita. Jangan terlalu yakin dengan kebahagiaan masa kini. Ujian Allah boleh datang bila-bila masa dan dalam pelbagai keadaan. 

Pejamkan mata, bayangkan pasangan anda kini telah berpisah dengan anda atas sesuatu sebab, dan dipimpin tangannya oleh pasangannya yang baru dengan penuh bahagia, namun matanya melirik memohon sesuatu dari anda. 

Apakah perasaan anda merenung situasi ini? Itu asas mudah menilai nilai tabungan tuan/puan hari ini.
Kisahkah kita? Muhasabahlah rumahtangga kalian. Belailah ia dengan iman dan tawakkal pada Allah SWT.

Wallahua’lam.

Thursday, July 07, 2011

Syaitan Rindu & Syaitan Benci

Hidup bersama pasangan yang dicintai tidak sama dengan dengan hidup bersama pasangan yang dicintai dan dikahwini. Ijab dan qabul ketika bernikah itu sendiri akan meleraikan hasutan 'syaitan sayang' dan akan menghadirkan 'syaitan benci' dalam kehidupan pasangan berkenaan.

Yang putih nampak kelabu. Yang comel nampak comot. Yang mesra nampak merimaskan. Inilah simptom 'syaitan benci' yang melanda satu-satu rumahtangga? Tetapi adakah adil mempersalahkan syaitan dalam segala hal? Tidak ada ruangkah untuk syaitan tidak dimangsai untuk semua perkara?

Saya bukan pro syaitan. Jauh sekali, wal'iyazubillah. Tetapi adakah kita terlupa hendak bertanya, apakah pula peranan kita yang ada Iman, ada Aqal dan ada Ilmu ini dalam menyemai cinta, kasih dan sayang berterusan dalam rumah tangga? Syaitan benci  itu cukup senang dinyahkan jika kekuatan yang ada pada diri kita sebagai Muslim dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Kita tarik nafas dalam-dalam, pernahkah kita rasa 'bahagia' apabila memejamkan mata dan teringat kepada keletah pasangan kita? Dan pernahkah kita buat 'rehearsal' (raptai) pemergian pasangan kita? Maksud saya bukanlah raptai kafankan dan mandikan jenazah beliau. Tetapi cukuplah sekadar membayangkan (bukan doakan)  beliau tiada lagi di dunia ini dan terbujur kaku tidak lagi dapat tersenyum kepada kita. Apakah perasaan kita? Hanya ambil 30 saat ke 1 minit sahaja untuk itu, ia berupaya 'mendedahkan' diri kita yang sebenar!

Dua kaedah ini menghadirkan satu petanda kepada kita akan ukuran kebahagiaan dalam rumah tangga. Saya sendiri selalu melakukan raptai ini tatkala sendirian, dan bila dapat tersenyum, malahan tergelak sendirian membayangkan kebahagiaan, saya sudah rasa cukup bersyukur, kerana masih ada rasa cinta di dalam diri ini.

Raptai sedih? Dengan personaliti saya yang suka baca Novel Bab 1, Bab Tengah dan terus ke Penutup, saya kurang gemar melakukannya, tetapi sudahpun 'dipaksa; menjalaninya satu ketika dahulu sekitar tahun 2009-2010. Dan cukuplah dengan episod itu, saya tetap bersyukur, kerana masih ada rasa kasih dalam diri ini.

Digabungkan kedua-duanya, maka saya menjadi penganut fahaman karat bahawa cinta dan kasih itu perlu sentiasa ada di dalam diri pasangan berumahtangga. Mahupun terhadap anak-anak penyeri syurga dunia ini.Saya tekankan di sini, DI DALAM DIRI. Embedded into your mind and soul. Bukan sekadar senyum, sengih dan kenyit mata!

Bab menzahirkan rasa cinta dan rasa kasih, sangat subjektif. Ada yang dermawan. Tetapi tidak kurang ada yang bakhil. Mungkin saya tergolong dalam kelompok pertengahan menuju bakhil (senyum). Lebih banyak bermisteri, tetapi ia tetap ada di dalam hati. Dan bertemu dengan pasangan yang 'bakhil' ekspresi, yang satu lagi mestilah berjiwa cukup besar mentafsirkan sebarang gerak laku ke arah haluan rasa cinta dan kasih ini. Saling faham memahami. Dengan kekuatan jiwa yang mantap amatlah perlu. Diperkukuhkan pula dengan pengabdian diri terhadap Allah SWT. Maka, aspek positif akan terpancar dari situ. Adakah kita 'melihat' Allah sayangkan kita? Tetapi yang pasti, kita boleh menterjemahkan segala nikmat yang Allah berikan kepada kita sebagai tanda kasih dan sayang-Nya kepada kita sebagai hamba.

Saya secara peribadi tahu setakat mana di dalam diri ini wujud rasa kasih, cinta dan sayang. Dengan kesedaran ini, sentiasa berusaha untuk membelainya sedaya upaya. Menyingkirkan yang remeh, mensyukuri nikmat yang lebih besar menjadi pedoman untuk ia berkekalan.

Maka amatlah rugi bagi mereka yang di dalam dirinya tidak dapat dihayati rasa cinta dan kasih. Malah tidak merasakan 'apa-apa' dengan perasaan itu. Kerana jika sebagai hamba Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, kegagalan kita menghayati nikmat Allah sebagai tanda kasih sayang-Nya, maka ia menampakkan kelemahan kita sebagai Muslim dan Mukmin.

Dan kegagalan kita sebagai suami mahupun isteri dan sebagai ibu bapa 'merasai dan menghayati' cinta dan kasih jauh di lubuk hati kita terhadap pasangan atau anak-anak, ia hanya akan mendaftarkan kita menjadi ahli parti komponen kepada Pertubuhan Syaitan Benci. Ingatlah, rumah tidak bertangga sukar dinaiki. Rumahtangga tanpa cinta dan kasih serta rasa tanggung jawab, hanyalah bahtera seterusnya bawa kita ke neraka Allah SWT.

Ya Allah, semaikan cinta dan kasih dalam hati kami. Dan kekalkan ia sehingga ke syurga-Mu ya Allah.

Wallahua'lam.

Abu Nufayl

Thursday, April 14, 2011

Jung Personality Test : ESFJ

Teruja tengok sahabat buat Jung Personality Test. Cuba juga. Keputusannya ESFJ. Apa itu ESFJ?
Jom kita tengok.

Errr..abang, cepat2 bukak tadika jom. ;)
p/s: I don't think myself extrovert.

ESFJ - "Seller". Most sociable of all types. Nurturer of harmony. Outstanding host or hostesses. 12.3% of total population.
Personality Test by SimilarMinds.com



ESFJ
does not like being alone, thinks life has purpose/meaning, organized, values organized religion, outgoing, social, does not like strange people/things - likely intolerant of differences, open, easy to read, dislikes science fiction, values relationships and families over intellectual pursuits, group oriented, follows the rules, affectionate, planner, regular, orderly, clean, finisher, religious, consults others before acting, content, positive, loves getting massages, complimentary, dutiful, loving, considerate, altruistic

favored careers:
wedding planner, social worker, pediatrician, public health employee, kindergarten teacher, business consultant, nurse, human resources manager, office manager, executive assistant, public relations specialist, medical employee, human resources, office worker, social services, child care worker
disfavored careers: 
artist, author, filmmaker, philosopher, video editor, musician, poet, tattoo artist, game designer, philosophy professor, international spy, film director, astronaut, art curator, scientist, computer consultant, cartoonist, graphics designer 

Saturday, April 02, 2011

Jem Strawberry (step by step)

Salam,
Sementara memunggu Abu Nufayl shopping kat Plaza Pudu ni, terasa nak berjinak- jinak dgn blogpress pula.

As first entry using blogpress, apa kata kita tengok jem strawberry (sebut stlobeli macam Nuha). Memang Ummu Nufayl beli 2 bekas strawberry yg setengah kilo tu (maknanya sekilo la) dan dpt free sebekas kecil strawberry lagi. Dalam RM15 di Kea Farm. Untuk buat jem, tak apa kalau buahnya ranum sikit. Kalau nak makan, elok beli yg segar terus dari ladang :). Alhamdulillah, rezeki kali ni, yang dibeli dari Kea Farm pun segar dan enak dimakan.

1. Sekilo strawberry segar


2. Mengambil posisi dalam periuk ;)


3. Sudah mula mencair. Saya letak sikit air. Gula dimasukkan dalam secawan gitu (kalau suka kurang manis, boleh kurangkan sukatan gula).


4. Mendidih sudah!


5. Aroma manisnya strawberry memenuhi ruang!


6. Dah sejuk, selamat diisi dalam bekas dan disimpan dalam peti ais. Gambar ini diambil setelah 3 hari jem ni siap. Sebab tu dah tinggal 3/4 bekas... Hehe
Warnanya sangat cantik kan? Asli!


7. Enak dimakan sebagai jem, atau untuk topping cheese cake anda dn sangat sesuai dinikmati sebagai jus sejuk sebegini.

Aroma manis, rasa masam-masam manisnya sangat menyegarkan :).






Alhamdulillah!


- Posted using BlogPress from my iPhone