Wednesday, July 28, 2010

Hanger Tudung

Sekarang ni ramai yang pakai tudung ber'awning kan?
Macam-macam produk dijual sebagai penyidai tudung. Saya beli hanger tudung yang ada 28 lubang tu dari IKEA. Awal tahun dulu. Tapi, tak sesuai dengan tudung-tudung saya. Selalunya berkedut di bahagian leher dan memandangkan tudung-tudung tu labuh, selalunya bahagian bawah pun berbekas juga.

Bulan lalu, saya jumpa ini.
 (gambar ihsan dari : Tudung Mania)

Saya beli 2 dozen hanger ini daripada Fyda Tudung Mania.
Alhamdulillah, makin mudah menguruskan tudung-tudung berawning ni. Taklah terkepak lagi awningnya. ;)
Walaupun boleh saja gunakan hanger sedia ada, cuma guna pengepit baju di hujungnya untuk menggantung tudung, saya suka hanger ini kerana ia khas untuk tudung-tudung ini.

Siapa yang berminat, bolehlah beli daripada Tudung Mania.
:)

Thursday, July 22, 2010

Haji atau Tidak Haji?

Memetik perbualan ringkas dengan Ummu Nufayl,

“Kalau dah pergi rasa senang hati” kata Ummu Nufayl.
Balas saya, “Dan tanggungjawab kita, jangan pula menyusahkan hati orang lain. Nasihatilah mereka..”

Ummu Nufayl menyambung "itulah pentingnya da'wah. Menasihati bukan menakut-nakutkan"

Dan perbualan kami bersambung rancak.

Topik ringkas ini kami bincang ketika makan malam semalam. Mengingatkan saya kepada hutang kepada seorang sahabat di Syarikat tempat bertugas tentang artikel yang beliau minta saya tulis, 3 ½ bulan yang lalu!!..

Tajuknya mudah, kewajipan pergi haji dan kewajipan berkahwin. Saya kesuntukan masa menulis kedua-duanya, jadi mungkin saya ambil separuh bab sahaja dahulu.

Makluman awal, saya tidak mahu memetik dan bicarakan dalil berulang-ulang kali, kerana ia boleh dicari di mana-mana kitab muktabar mahupun di laman yang tertentu. Cuma ini sekadar pandangan peribadi dan pada saya tidak lari daripada ketetapan syarak.

1. Selalu kita lihat ramai pasangan/individu yang membeli belah sakan ataupun pergi melancong ke luar negara menghabiskan belasan malahan puluhan ribu, setiap tahun, namun tidak pula ke Makkah. Apa bangsanya ini?
2. Ada yang mengumpul puluhan ribu ringgit, tidak melancong ke mana-mana, tidak pula membeli belah, tetapi tidak juga pergi haji. Ternak duitkah kaum ini?
3. Tiba-tiba adik-adik kita yang muda, tidak pula kita tahu bila mereka ini berduit pergi ke Tanah Suci menunaikan fardhu haji? Merompak bank kah mereka ini untuk pergi haji?

Menganalisa perkara ini, saya berpegang kepada :
1. Tidak semua manusia itu sama
2. Tidak semua niat manusia itu sama
3. Tidak semua niat yang sama dilaksanakan dengan cara yang sama
4. Tidak semua cara yang sama menghasilkan natijah yang sama.

Oleh itu, saya menyimpulkan perkara pergi haji awal atau tidak, pergi melancong dahulu atau membeli belah dahulu adalah perkara berkaitan yang tidak ada perkaitan di antara satu sama lain! Pening???

Pandangan saya. Haji bukan berkisar pada RM semata-mata. Kadangkala, jutawan sekalipun tidakpun pergi haji. Ini kerana mungkin beliau telah mendaftar, dan sudahpun berazam, tetapi belum sampai giliran beliau dijemput Allah Ada sahaja aralnya yang dibenarkan syarak. Golongan ini kalau kita berburuk sangka, maka berdosalah kita. Kerana siapa kita untuk berburuk sangka?

Tetapi jika tidak berikhtiar dan berazam, malahan tidak mendaftar sekalipun. Jutawan, ribuan, ringgitwan, tok wan sekalipun, walaupun kita bersangka baik kepada mereka ini sekalipun, mereka tetap berdosa kerana dengan sengaja menangguhkan USAHA DAN PROSES AWAL menunaikan fardhu haji.

Kalaulah saya, ada RM20,000.00 contohnya. Dan mendapat tahu bahawa giliran saya adalah 5 tahun lagi, walaupun setelah dibuat rayuan, saya akan membuat sedikit pengiraan. Jika dengan konsep dan kaedah menyimpan yang betul, saya akan dapat mengumpulkan kembali RM20,000.00 itu, beserta dengan kos inflasi 5 tahun akan datang (kenaikan tambang dsbgnya), maka dalam hal ini saya tidak akan teragak-agak membelanjakan dahulu wang itu perhibur bersama keluarga, melancong, membeli belah dan sebagainya. Kenapa tidak? Tetapi, kita perlu yakin dengan pasti, wang itu dapat dikumpul kembali. Jika tidak pasti, hmm.. saya simpan komen saya.

Tetapi jika kita pasti tidak dapat mengumpulkan kembali wang itu, namun tetap menghabiskannya ke arah nikmat duniawi, saya rasa kita perlu banyakkan istighfar dan sedialah menuju kemurkaan Allah kerana dengan sengajanya menghumbankan nikmat Allah itu ke arah kesenangan duniawi tanpa ada keinginan menyempurnakan RUKUN Islam ini.
Atau kita langsung tidak mengambil inisiatif, langsung tidak mendaftar, langsung tidak ada niat, tetapi kemampuan itu ada, maka tunggulah juga ‘jawapan’ dari Allah SWT terhadap golongan seperti ini.

Bagaimana kalau ingin berkahwin? Bertembung dengan menyempurnakan Rukun Islam ini? Bacalah dahulu dari segi hukum dan perbandingannya. Kemudian baru kita boleh bersembang lanjut!

Sekadar coretan ringkas. Cuma pesanan saya, JANGANLAH BERSANGKA TIDAK BAIK KEPADA ORANG LAIN, mungkin ada sebabnya beliau begitu dan begini. Kita tahukah kesihatan ibu bapa mereka bagaimana? kita tahukah beban kehidupan mereka bagaimana? Kesihatan mereka sendiri bagaimana? Jangan lihat duit yang masuk itu shaja. Perlu lihat kepada duit yang 'keluar'. Islam sendiri meletakkan kemampuan sebagai salah satu syarat. Tetapi tiada langsung keazaman dan kesengajaan mencuaikannya pasti membawa dosa.

Oleh itu, lebih penting, pada masa yang sama, JANGAN TERLALU BERSANGKA BAIK KEPADA DIRI SENDIRI DAN AMAL PERBUATAN KITA, kerana ia mungkin tipu daya syaitan menggagalkan kita menjadi hamba Allah yang disayangiNya!

Selamat berazam menunaikan haji dan mendaftarlah dengan Tabung Haji!

Wallahua’lam.