Thursday, May 28, 2009

Kuasa? Mogok Lapar? Ilmu Ulama' , Komunis Dajal?

Bulan ini agak mencabar minda. Tidaklah teruk sangat cabarannya, tetapi mampulah buat manusia berfikir sedikit sebanyak.

Kuasa?

Isu Perak? Biarlah dulu. Jangan layan orang gila. Masih lagi berpuasa dari mengulasnya. Isu pemilihan PAS? Ya, memang ada pencalonan, dan akan adalah pemilihan. Tahniahlah kepada bakal pemenang. Takziahlah juga. Seperkara yang pasti pasti lebih ramai yang tidak akan menang berbanding yang menang. Walaupun begitu, apa yang penting perjuangan mesti diteruskan.

Walau siapapun menang. Walau apapun jawatan. Jika aqidah perjuangan dikorbankan, ia tetap akan dipanggil tewas. Malah mungkin boleh diistilahkan pengkhianat pada perjuangan pada jalan Allah ini. Dan saya percaya, tidak ada yang begitu. Cuma dilebih-lebihkan sahaja oleh lidah-lidah syaitan tunggangan KERAjaan pemerintah yang memang tidak takut pada azab api neraka. Kuat sungguh mereka ni.

Mogok lapar?
Yang ini agak menarik. Apa yang pasti, menzalimi tubuh badan itu haram. Menyiksa jiwa juga haram. Tetapi apa mahu bising? Pejuang Islam bukannya mogok lapar. Mereka berpuasa sunat. Puasa sunat itu sunnah. Dapat pahala. Dan berkebetulan kita boleh tunjukkan tanda protes pada masa yang sesuai, disertakan dengan puasa sunat. Baguslah begitu. Jangan diniatkan kerana parti atau isu sudah! Kerana ibadah itu hanya milik Allah. Tidaklah boleh diniatkan sahaja aku puasa sunat protes kerana Allah Ta’ala. Atau tidak boleh juga diniatkan sahaja aku puasa sunat kerana nak protes, lillahi ta’ala. Itu sudah lari dari amalan sebenar Islami.

Ulama’ Berilmu
Cuma simpati saya pada para sesetengah tokoh agama. Baik mufti, baik ustaz. Mereka ini kadangkala kurang membaca media tempatan. Jadi apabila disogokkan dengan soalan wartawan yang memang sudah pre-bias ketika menyoal, pastilah mereka akan menjawab dengan nada yang dikehendaki. Saya masih sangka baik pada ulama’. Cuma saya yakin, mereka kurang membaca. Ya, kurang membaca mainan media massa dan mainan politik. Itulah sukarnya mencari pemimpin agung seperti Rasulullah. Agama handal, politik handal, pengetahuan am juga mestilah handal. Jika tercicir salah satu, di zaman fitnah ini pula, maka jadi mangsalah tokoh-tokoh agama ini. Tuan-tuan Ustaz dan Tuan-tuan Mufti, tambahkan pembacaan anda. Luaskan pengetahuan am. Dalami sedikit seni berpolitik. Barulah tidak tercatuk ditipu syaitan! Barulah akan ada juga komen dan teguran tentang hukum mendedahkan aurat bagi wanita muslim, ataupun isteri pemerintah negara. Hukum berjabat tangan dengan bukan mahram. Hukum tahan manusia tanpa bicara. Kadang-kadang mereka juara. Kadang-kadang bisu dan pekak. Inilah sindrom ketidakstabilan ilmu pada zaman fithan.

Komen saya di atas langsung tidak meliputi ulama’ upahan Kerajaan Pemerintah. Mereka bukan kurang membaca, tetapi golongan ini memang jahat. Jahat prinsip. Jahat akhlaq. Ilmu hanya menjadi alat. Dan tidak boleh dipakai menyampaikan ummah ke Taman Syurga.

Chin Peng? Komunis?
Ini paling menyentuh benak saya minggu ini. Ia memerlukan manusia berfikir dan terus berfikir. Perlu ada pendapat peribadi. Perlu ada perdebatan syariat. Perlu juga ada asas sirah Islamiyyah. Perlu juga ada unsur akhlak.

Pendapat peribadi?
Siapa yang mahu setuju? Saya sendiri anak bekas tentera. Komunis mana yang boleh dikatakan baik? Walau apapun perjuangan mereka, matlamat mereka tidaklah boleh menghalalkan cara. Dan komunis ini telah pun menghalalkan segala cara. Membunuh, merogol, menyula, dan bermacam-macam keharaman lagi telah dihalalkan oleh mereka. Inilah binatang, menghalalkan yang haram. Tidak kiralah komunis atau kerajaan. Bila yang haram dihalalkan. Jangan sebut bunuh, bila judi dilesenkan, bila arak dilepaskan, bila aurat ditayang-tayangkan. Binatanglah mereka ini. Kerana tiada aqal untuk berfikir dan menerima arahan dan tegahan Allah swt. Menderhaka dan mengkhianati Islam.

Dari segi aqidah. Dan juga syariat. Perlu kita ingat, jangan terlajak jalan. Mengiktiraf komunis, boleh membawa kepada mengiktiraf komunisme. Dan apa bezanya dengan kita mengiktiraf agama Hindu, Kristian dan Buddha? Komunisme pada sudut pandang aqidah tidak akan bertemu pangkal dengan agama Islam. Walaupun mereka ini semulia malaikat sekalipun, jika fahaman aqidahnya tewas, siapa kita untuk mengiktirafnya?

Juzu’ ketiga bab Chin Peng, bab komunis, ini boleh jadi sedikit ‘roadblock’ emosi kita. Walaubagaimana kejamnya Hinduh memamah isi tubuh Sayyidina Hamzah r.a, walaubagaimana dahsyatnya penentangan Abu Sufyan, walaubagaimana zalimnya kafir Quraysh, layanan terakhir diberikan oleh Rasulullah adalah tidak tumpah seperti melayan dan menunaikan hak mereka sekurang-kurangnya sebagai manusia. Penuh akhlaq dan hemah. Walaubagaimana kejamnnya Yahudi dan Kristian, Salahuddin al-Ayyubi tidaklah membabi buta membunuh mereka dalam mana-mana peperangan. Pintu damai sentiasa dibuka. Kerana itulah akhlaq Islam. Dan inilah yang menarik tentang ajaran Islam. Bukan teorinya, tapi praktiknya!

Sedikit selingan, ada yang memetik kisah Rasulullah dan pengemis Yahudi buta, tetapi saya tidak cenderung ke arah itu, kerana sangsi dengan sahih atau tidaknya kisah ini dari segi sanadnya. Siapa yang memulakan cerita, ataukah itu hadis? Perkataan yang diguna juga memusykilkan saya dari segi kesahihan matannya. Tetapi selain kisah itu, ratusan malahan ribuan kisah lain yang memperihalkan kesantunan umat Islam terhadap penganut agama lain.

Jangan risau, 'roadblock' tadi bukan ingin menghalalkan kemasukan Chin Peng. Saya teguh dengan pendirian untuk menyisihkan pengkhianat prinsip perjuangan, pendusta aqidah, penyembelih keharmonian dan dajal pada zamannya ini untuk kembali menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini.

Namun pada masa yang sama, kaedah menolak, mestilah berhemah. Mestilah ada santunnya. Dan apa kata, pada suatu hari, petualang ini memeluk agama Islam, bertaubat dan menyerah diri kepada kita untuk menghukumnya? Kalaupun bukan dia, sahabatnya yang lain? Apakah status kita pada masa itu? Saya kira ini juga satu cepu minda yang bermain di fikiran saya ini.

Kerana apa? Kerana selain Chin Peng ini, apa kurangnya kedajalan yang umat Islam di Negara ini lakukan. Mengkhianati dan menjahanamkan kemuliaan syariat Islam itu sendiri. Cuai solat, mabuk, dedah aurat, pegang bahu perempuan bukan mahram, menahan tanpa bicara, berbohong atas nama Allah. Rampas kuasa. Rasuah. Tembak penunjuk perasaan dengan peluru hidup, salahguna rakyat. Persoalan saya, neraka mungkin tempat beliau. Tetapi adakah kita pasti Syurga akan jadi milik kita?

Wallahua’lam.

Friday, May 22, 2009

My Warm-up Notes

Rabu petang, akhirnya saya berjaya tukar skin blog FZH ni. Yang susahnya, bukan nak tukar skin...tapi saya mencari-cari skin yang berkenan di hati. Nak buat sendiri, sekarang masa saya cukup terhad. Tak dan!

Akhirnya saya berkenan yang ini (walau tak 100% sebenarnya). Bolehlah! :)

Semalam, saya dan suami bercuti. Kami dan Nuha mengiringi rombongan kelas Nufayl ke Aquaria. Nufayl dan kawan-kawannya, kami tak kacau. Kami dengan Nuhalah. Tengah hari, singgah di Nagoya TAR...Ummi beli kain sikit. Dapat heavy cotton 1 meter, cotton berbunga 6 meter, cotton kosong 5 meter. Ummi ada projek sikit. Doakan mood tak down balik! Kalau mood ok, nanti bolehlah Ummi kongsikan hasilnya. ;)

Lepas tu, terus ambil Nufayl di sekolah dan ke SJMC (sekarang dikenali sebagai SDMCSJ).

Disebabkan urusan selesai jam 5.30 petang, kami singgah ziarah seorang sahabat di Shah Alam. Akhirnya jam 10.00 malam baru kami sampai di rumah.

Itu saja warm-up notes daripada saya.

Nanti saya kongsikan lagi apa yang boleh saya kongsi.

Friday, May 15, 2009

Gila, Seimbang, Kualiti

Assalamualaikum warahmatullah.


Ummu Nufayl ni mana pi ni. Janji hari tu nak ambik turn. Dah hari Jumaat tak update lagi. Nak kena showcause ni.


Kami tak sekuat mereka yang lain. Berdepan dengan isu terkini, terus rasa letih. Bukan kerana malas. Tapi buat apa mengomen benda yang memang semua orang tahu hakikatnya. Tak mahulah jadi nasi tambah. Kalau lauk tambah, boleh juga ratah.


Biarlah dulu orang gila dengan kegilaannya. Sudah tentu bila ditanya gila atau tidak, tidak mahu mengaku si gila itu. Dikatakan kita pula gila. Tapi ada orang gila yang mengaku. Namanya, gila MB. Memang tak menyempat-nyempat nak mengaku. Aku MB. Gila! MB yang tak gila rileks ja. Memang betul, dalam banyak-banyak gila, gila kuasalah antara yang paling mendajalkan manusia. Diikuti gila wanita, gila harta dan gila talak. Kadang-kadang orang mati pun nak dikaitkan dengan diri sendiri, untuk menjustifikasikan gilanya pada kuasa. Kalaulah Mahatma Ghandi dan Nelson Mandela faham bahasa Melayu, muntah depa tu dengaq. Kalau Hitler mungkin dia suka buat geng!


Keluar dari kegilaan, saya terlintas satu satu perkara untuk perkongsian hari ini. Seketika saya teringat, dan terus ingin kongsikan.

Pernahkah kita sedar bahawa kehidupan seharian kita kini sudah hilang keseimbangan. Kami anak beranak adalah spesis terbaik untuk dijadikan spesimen. Keluar kerja awal pagi. Balik kerja sudahpun malam. Bak kata pepatah - Ibarat Abu Nufayl dan Ummu Nufayl. Hentam ajalah.


Menginsafi kepadatan waktu ini, kami sedar terlalu sedikit masa untuk 'menyumbang' kepada Islam dan perjuangan. Menyedari perkara ini, bagi mereka yang turut berasa sedemikian, infaqkanlah apa yang sempat kepada perkara-perkara kebaikan sebaik sahaja ada peluang. Jangan bertangguh ke esok hari!


Jika berjam-jam komitmen boleh diberi kepada pejabat, kenapa tidak sampai 5 minit tiba di rumah kita terus rebah tanpa ada sedikit ruang masa untuk agama dan keluarga. (bukan mengata Ummu Nufayl - dia immune atas sebab-sebab yang sahih). Tapi mengata kepada diri sendiri.


Seperkara yang baik kami telah lakukan ialah, menghantar anak berhampiran ke tempat kerja. Jadi, perjalanan pergi dan balik kami bersama anak-anak. Jika Imam Hassan al-Banna berusrah tika memakai selipar di tangga masjid (kerana cengkaman pihak berkuasa), maka kami berusrah dalam kereta. Memahami kerenah anak-anak, melayani dan meladeni mereka ketika perjalanan pergi dan balik. Makan bersama dan akhirnya tidur bersama. Jadi kurang ralatnya tentang itu. Tarbiyah boleh disalur melalui pelbagai cara, cuma perancangan kena ada.


Bab gerak dakwah yang menghantui. Memanglah ada penekanan. Memanglah ada sumbangan. Memanglah ada keazaman. Dan memanglah aktif. Tetapi hati sentiasa mengetuk pintu untuk bertanya, adakah cukup? adakah seimbang? adakah berbaloi ? antara duniawi dan ukhrawi?


Ia akhirnya membuatkan kami sendiri akur, dalam realiti kehidupan kini, mengejar kuantiti bisa sahaja menyebabkan kami hilang fokus dan semangat. Tetapi kami memutuskan, kualiti bagi setiap detik dan langkah adalah lebih aula'. Namun harapan masih menggunung, kualiti yang banyak kuantitinya pastilah khawas-al-khawas!


Selamat mengharungi perjuangan alam realiti.


Wallahua'lam!